PETALING JAYA: Siasatan membabitkan bekas peguam 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan kini hampir 75 peratus lengkap.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk menyita aset-aset milik Jasmine.
“Bagaimanapun pada masa kini kita tidak boleh dedahkan antara aset miliknya yang dikenal pasti.
“Siasatan kini hampir 75 peratus selesai di bawah Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambahnya, pihak polis dijangka menyerahkan Jasmine kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seawal minggu depan untuk siasatan berkaitan pengubahan wang haram dijalankan agensi tersebut.
Pada 17 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan dua kenderaan dan sejumlah wang kira-kira RM30,000 di dalam akaun milik Jasmine Loo Ai Swan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah disita pihak berkuasa negara setakat ini.
Sumber berkata, semua aset berkenaan dirampas oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dipercayai mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.
Razarudin sebelum ini dilaporkan berkata, lebih banyak aset Jasmine akan dirampas perlu melalui proses di bawah AMLA yang dijangka mengambil tempoh panjang.
Beliau berkata, Jasmine turut memberikan kerjasama yang baik sepanjang siasatan.
Jasmine ditahan polis pada Julai lalu bagi membantu siasatan isu penyelewengan dana syarikat berkenaan dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.
Bloomberg sebelum ini melaporkan penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu pengarah eksekutif Casey Tang dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB. – UTUSAN










