15,786 individu ditahan terlibat kes jenayah komersial

15,786 individu ditahan terlibat kes jenayah komersial

DIG AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 15,786 individu atas pelbagai kesalahan membabitkan jenayah komersial sejak Januari hingga Ogos lalu.

Kesemua tangkapan itu dibuat menerusi 14,046 operasi yang dilakukan sepanjang tempoh itu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, bagi tempoh sama, sebanyak 9,898 pertuduhan berjaya dibuat.

“Sebanyak 117 kes yang direkodkan adalah siasatan membabitkan pengubahan wang haram.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) juga telah membekukan pelbagai aset termasuk akaun dan harta bernilai RM106,048,673.73 selain penyitaan RM249,336,174.31.

“Selain itu, sebanyak lima kes berjaya dituduh di mahkamah,” katanya ketika menyampaikan amanat Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dalam Perhimpunan Bulanan, di Bukit Aman di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, trend semasa jenayah komersial memperlihatkan lebih 50 peratus kes direkodkan saban tahun adalah terdiri daripada kes penipuan dalam talian.

“Dalam usaha mengekang dan membanteras jenayah komersial, kita kekal komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif yang telah dirancang melibatkan siasatan, risikan, operasi dan kempen pencegahan,” jelasnya.

Beliau berkata, teknologi digital telah merevolusi dunia dan mengubah landskap kehidupan seharian.

“Kemajuan teknologi juga menyumbang kepada kepelbagaian trend jenayah siber, kita perlu bergerak selangkah ke hadapan agar berupaya mendepani cabaran dunia baharu termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). 

“Tidak dapat dinafikan bahawa, ruang siber yang terbuka ini memberikan cabaran kepada kita untuk meneroka strategi dan kaedah terkini bagi menanganinya,” ujarnya.

Ayob berkata, usaha pencegahan jenayah yang berkesan memerlukan penglibatan aktif oleh semua lapisan masyarakat. 

“Saya dimaklumkan bahawa JSJK telah melaksanakan sejumlah 8,863 program pencegahan jenayah di seluruh negara sejak Januari hingga Ogos lalu,” katanya. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN