PETALING JAYA: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli akan membuat laporan polis terhadap hantaran media sosial Pas berhubung dakwaan 54,000 warga China akan diberikan kewarganegaraan.
Beliau akan berhubung dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk melakukan laporan polis tersebut.
“Saya akan bercakap dengan Menteri Dalam Negeri sendiri supaya satu laporan polis dibuat mengenai posting (hantaran) ini yang jelas satu criminal defamation ‘dalam proses diberi kerakyatan’ adalah penipuan.
“Pas perlu bertanggungjawab bila berterusan berbohong begini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Terdahulu, Pas memuat naik sebuah hantaran di Facebook dan Twitter yang menunjukkan kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berhubung isu warga China akan diberikan kerakyatan negara ini.
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebelum ini menafikan dakwaan kira-kira 54,000 warga China sedang dalam proses diberikan kerakyatan Malaysia kononnya untuk menjadi pengundi DAP.
JPN dalam kenyataan memaklumkan, kenyataan Menteri Dalam Negeri semasa sidang akhbar sempena lawatan kerja rasmi beliau ke jabatan itu pada 9 Januari dimanipulasi daripada sebahagian kenyataan penuh menteri itu.
Sedangkan katanya, inti pati kenyataan menteri ketika itu adalah memaklumkan antara komitmen beliau untuk membuat keputusan sama ada lulus atau gagal terhadap permohonan kewarganegaraan yang tertunggak sekian lama tanpa dibuat sebarang keputusan. – UTUSAN










