PETALING JAYA: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengambil usaha untuk memperkukuh hubungan diplomatik bagi menjamin kerjasama antarabangsa yang bakal memberi manfaat kepada mereka untuk jangka masa panjang.
UPSI melalui Pusat Antarabangsa dan Mobiliti (IMC) mengadakan majlis minum petang bersama komuniti diplomat asing Selasa lalu bagi memperkukuhkan lagi perhubungan dan kerjasama di antara wakil diplomat luar negara berfokuskan bidang pendidikan.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, majlis tersebut merupakan medium perbincangan kolaborasi Surat Hasrat (LoI), Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) Antarabangsa bersama negara-negara yang terlibat.
Kata beliau, antara perkara yang dibincangkan adalah mencakupi fokus kerjasama pendidikan terutama dalam pendidikan keusahawanan, teknologi digital dan kreatif.
“Kerjasama program mobility pertukaran pelajar dan edutourism (pelancongan berasaskan pendidikan) turut dibincangkan supaya dapat menarik potensi lebih ramai pelajar ke dalam negara.
“Selain itu, cadangan kolaborasi pendidikan yang berfokus kepada jalinan kerjasama bersama universiti, institusi dan kementerian pendidikan akan dibuat sekali gus bakal merancakkan lagi pertukaran kepakaran dalam bidang pedagogi pendidikan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Majlis yang berlangsung di Hotel Mandarin Oriental itu dihadiri oleh seramai lapan orang diplomat asing iaitu Pesuruhjaya Tinggi Namibia, Herman Pule Diamonds; First Counsellor of Palestine, Mohammed Abudagga; Setiausaha Pertama, Kedutaan Jepun, Saito Yukiyoshi.
Turut hadir Setiausaha Pertama (Politik) Kedutaan Singapura, Muhammad Amin Abdul Rahim; Setiausaha Kedua (Politik) Kedutaan Afrika Selatan, Mmaphala Legodi; Atase Pendidikan, Kedutaan Indonesia, Prof. Muhammad Firdaus; (Atase Budaya) Kedutaan Iraq, Prof. Dr. Ahlam Neamah Lafta serta Setiausaha Pertama (Pendidikan, Pelancongan dan Kebudayaan), Kedutaan Uzbekistan, Elbek Saidov.
Majlis tersebut juga dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Marzita Puteh dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Suriani Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Dr. Md. Amin berkata, harapannya adalah kerjasama kolaborasi pendidikan tersebut akan dapat dilaksanakan dengan jayanya pada masa akan datang dalam mempromosikan imej UPSI di peringkat global.
“UPSI sangat komited dalam menjalinkan perhubungan terus dengan institusi untuk merealisasikan misi pengantarabangsaan pendidikan,” katanya. – UTUSAN










