Selepas berakhir pilihan raya negeri (PRN), kini diketahui Pakatan Harapan (PH) bersama Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan majoriti dua pertiga.
Daripada keseluruhan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kedua-dua parti menang tiga kerusi dengan PH mendapat 17 kerusi manakala BN menang di 14.
Selepas Datuk Seri Aminuddin Harun dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar, proses seterusnya kini adalah menantikan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan melengkapkan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan untuk penggal ini.
Apa yang menarik untuk dinantikan adalah, barisan Exco tersebut bakal menyaksikan buat pertama kalinya ia akan menggabungkan wakil dalam kalangan parti Kerajaan Perpaduan.
Berapakah kuota yang diperuntukkan untuk setiap parti masih lagi menjadi tanda tanya.
Berdasarkan penggal yang lepas di mana PH membentuk kerajaan Negeri Sembilan dengan 20 kerusi, parti DAP memperoleh lima wakil sebagai Exco dan PKR pula seramai tiga orang diikuti Parti Amanah Negara seramai dua orang wakil.
Keadaan semasa dengan BN-UMNO mempunyai 14 wakil dalam DUN, pembahagian kuota itu pasti berubah.
Daripada 10 Exco yang bakal dilantik, BN-UMNO dijangka bakal mendapat empat wakil, diikuti seramai tiga wakil dari DAP.
PKR yang menang lima kerusi dijangka memperoleh kuota sebanyak dua orang manakala Amanah yang mempunyai hanya seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut mempunyai wakil dalam Exco.
Beberapa nama baharu juga dijangka diberikan peluang untuk mengetuai portfolio yang akan diwujudkan kelak.
Dijangka daripada empat wakil rakyat wanita di dalam DUN kali ini, dua akan diberikan peluang dalam barisan Exco kali ini. – UTUSAN










