TVET dibuka kepada siswazah bukan teknikal

TVET dibuka kepada siswazah bukan teknikal

Siswazah bukan dalam bidang teknikal kini boleh memohon memasuki bidang pendidikan teknikal dan latihan vo­kasional (TVET) di 22 Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) seluruh negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Siswazah dalam bidang selain teknikal boleh me­mo­hon memasuki bidang pendidikan teknikal dan latihan vo­kasional (TVET) di 22 Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) seluruh negara.

Ia sebagai langkah mening­katkan kemahiran mereka bagi mengatasi isu pengangguran dalam kalangan 90,000 siswazah di­sebabkan lebihan penawaran selain menyediakan tenaga buruh yang separa mahir dan berkemahiran tinggi.

Walaupun turut berdepan pengurangan pelajar, kerajaan tidak akan menutup IKBN sebaliknya memperluaskan skopnya kepada ramai lepasan sekolah lain di seluruh negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, permohonan memasuki IKBN kini dibuka kepada siswazah da­lam bidang bukan teknikal daripada institut pengajian tinggi (IPT) lain.

Katanya, IKBN terbuka kepada semua belia berusia 18 hingga 30 tahun tanpa mengira latar belakang pendidikan kecuali mereka yang pernah mengikuti latihan kemahiran bersijil di institut latihan awam atau swasta lain.

“Jadi secara teknikalnya graduan dalam bidang bukan teknikal dari IPT lain boleh memohon untuk mengikuti latihan di IKBN,” ujarnya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 70 peratus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawarkan ke Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pengajian dalam TVET.

Angka tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan Malaysia untuk melahirkan pekerja berkemahiran sekiranya institusi yang menawarkan pelbagai kemudahan dan pemberian elaun bulanan oleh kerajaan tidak menjadi pilihan belia.

Lebih membimbangkan, jumlah permohonan untuk melanjutkan pelajaran di institusi itu juga menurun dalam tempoh tiga tahun iaitu tahun 2019 seramai 16,989 memohon, menurun kepada 7,496 pada 202 dan tahun 2021 seramai 9,833.

Sedangkan ILKBS tidak mengenakan yu­ran pengajian kerana semua di­tanggung kerajaan. Cuma me­reka perlu membayar baya­ran asas dan teknikal yang dikenakan sekali sepanjang pengajian dengan kadar berbeza mengikut kursus yang diambil.

Dalam pada itu Adam memberitahu, IKBN itu juga akan menilai semula keperluan pembaharuan membabitkan program pengajian, tempoh latihan dan kerjasama dengan industri untuk terus kekal relevan.

“Tidak sampai ke tahap tersebut (tutup) sebaliknya IKBN akan terus memperluaskan capaian. Tawaran akan terus dipanjangkan lagi kepada ramai lepasan sekolah lain di seluruh negara.

“Dari semasa ke semasa IKBN akan memperhalusi keperluan untuk diadakan (lakukan) pembaharuan sama ada daripada segi program yang ditawarkan, tempoh latihan dan kerjasama dengan industri,” katanya.

Untuk rekod, secara purata, 224,000 siswazah dikeluarkan pada setiap tahun berbanding penawaran kerja berkemahiran tinggi hanya 127,000.

Oleh itu, bakinya iaitu lebih 90,000 graduan berdepan dengan masalah untuk memasuki alam pekerjaan akibat kekurangan penawaran pekerjaan berkemahiran tinggi.

Kajian Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA) pada Februari lalu mendedahkan bahawa secara purata, ada 224,000 graduan lepasan universiti setiap tahun sekali gus mewujudkan persaingan sengit untuk memasuki alam pekerjaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN