PETALING JAYA: Sungai Klang wajar ditransformasikan seperti Sungai Melaka yang kini bersih, cantik serta menjadi pusat pelancongan bertaraf antarabangsa.
Presiden Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS), Datuk Seri Abdul Malek Yusof berkata, projek pembersihan dan mencantikkan Sungai Klang wajar dilaksanakan kerana ia terletak di Lembah Klang dan mempunyai tarikan pelancong yang tinggi.
“Di sekitar Sungai Klang juga terdapat tapak dan kawasan yang tidak digunakan, ia boleh dibangunkan sekali sebagai tempat perusahaan mikro bagi membantu rakyat setempat.
“Pada masa sama, apabila Sungai Klang dibersihkan, ia juga boleh menyelesaikan isu banjir kilat di Lembah Klang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Semalam Mingguan Malaysia melaporkan tentang transformasi Sungai Melaka dari ‘sungai busuk’ kepada produk pelancongan yang memberi limpahan ekonomi terutama kepada masyarakat berdekatan.
Abdul Malek berkata, bukannya tiada sesiapa yang mempunyai idea untuk mengindahkan Sungai Klang, tetapi, mereka tidak tahu untuk memulakannya dari mana dan apa kos serta modal yang diperlukan.
“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya harus memulakan langkah pertama dan diikuti dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Saya yakin Kerajaan Madani kini akan mengambil perhatian perkara ini dan memfokuskan untuk membangunkan lagi sosioekonomi negara,” ujarnya. – UTUSAN










