PETALING JAYA: Penyanyi, Masya Masyitah mengumumkan bersara daripada dunia hiburan dan ingin hidup bebas.
Menurut penyanyi Halimunan itu lagi, dia masih menerima banyak tawaran namun sengaja menolaknya kerana tidak mahu lagi bergelar artis.
“Saya nak hidup bebas, saya dah tak mahu jadi artis, tak mahu dunia glamor.
“Ya memang saya nak jadi sendu. Sekarang saya nak jadi orang biasa sahaja.
“Berlambak tawaran kerja yang saya terima, tapi saya tolak. Saya nak berehat,” katanya menjawab persoalan warganet semasa sesi siaran langsung dalam Instagram rasminya baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Masya turut menyelar tindakan warganet yang menyalahkan kedua-dua ibu bapanya atas pilihannya untuk tidak lagi berhijab.
“Tanggalkan tudung adalah pilihan saya sendiri. Kalau nak marah, marah saya.
“Tak payah nak cakap mak saya pun ikut sama galak dan salahkan mak ayah saya.
“Siapa kata ayah saya akan tanggung (dosa)? Sendiri buat, saya sendiri lah tanggung,” katanya.
Bulan lalu, Masya Masyitah mencuri tumpuan apabila memuat naik tujuh keping foto dalam Instagram tidak lagi bertudung.