KUALA LUMPUR: Serangan peribadi berkemungkinan menjadi punca penyebaran kenyataan palsu mendakwa siasatan sedang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Dr. Zulkapli Mohamed.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, keterangan 10 individu telah diambil berhubung siasatan itu.
“Kenyataan palsu itu lebih menjurus kepada serangan peribadi terhadap Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha Negara.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja menghina dan memprovokasi mana-mana orang, berniat atau mengetahui kemungkinan besar provokasi itu akan menyebabkan dia memecahkan ketenteraman awam atau melakukan apa-apa kesalahan lain.
“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman di sini hari ni ini.
Dalam perkembangan berasingan beliau berkata, sebuah akaun media sosial yang mendakwa terdapat penglibatan Institusi Diraja Johor berhubung video penularan penerimaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor yang meriah di Johor akan disiasat.
Kata beliau, satu hantaran di Facebook milik ‘Flat Earth Malaysia’ telah mengeluarkan komen mengenai penglibatan Institusi Diraja Johor itu kemudiannya telah dikesan.
Katanya, pemilik akaun berkenaan menyentuh perkara itu selepas siasatan dilakukan pihak polis video klip tular seolah-olah penerimaan Menteri Besar Kedah itu di Johor.
“Komen yang dibuat (pemilik akaun itu) seolah-olah melibatkan Institusi Diraja di Johor. Ekoran itu, kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” jelasnya.
Terdahulu, satu akaun Facebook memuat naik kenyataan yang mempertikaikan siasatan terhadap video tular MB Kedah yang diserbu ketika hadir ke Johor, baru-baru ini.
Hantaran tersebut turut mendakwa berlaku penglibatan Sultan Johor serta parti UMNO ekoran gelombang hijau sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) akan datang. – UTUSAN










