Tiga pacuan empat roda ditahan cuba seludup diesel subsidi - Utusan Malaysia

Tiga pacuan empat roda ditahan cuba seludup diesel subsidi

KENDERAAN pacuan empat roda yang ditahan didapati melakukan pengubahsuaian dengan menempatkan tangki tambahan bagi menggelakkan kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi dihidu pihak berkuasa. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Polis menahan tiga kenderaan pacuan empat roda menggunakan nombor pendaftaran asing dipercayai cuba melakukan kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi di pos sekatan jalan raya Pasukan Gerakan Am (PGA) Wang Kelian, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdullah berkata, ketiga-tiga kenderaan itu ditahan pada pukul 11.35 pagi bagi menjalani pemeriksaan lanjut selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sewaktu tiba di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan pertama yang dipandu oleh warga asing berusia 50 tahun itu telah membawa kepada penemuan 500 liter cecair disyaki diesel bersubsidi diisi dalam tangki tambahan yang telah diubah suai.

“Pemeriksaan diteruskan pada kenderaan kedua dipandu seorang wanita warga asing berusia 23 tahun yang membawa kepada penemuan 400 liter cecair di dalam tangki tambahan disyaki diesel subsidi.

“Manakala pemeriksaan bagi kenderaan ketiga yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berusia 38 tahun pula turut menemukan sekitar 400 liter diesel subsidi di dalam tangki tambahan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Shokri berkata, menerusi penahanan itu, pihaknya merampas sejumlah 1,300 liter cecair dipercayai diesel subsidi bersama tiga buah kenderaan dengan anggaran nilai berjumlah RM154,000.

Katanya, ketiga-tiga suspek berkenaan juga turut ditahan manakala kenderaan terbabit diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya sekali,” katanya.

Tambahnya, polis Padang Besar memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak terlibat dalam kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi bagi menggelakkan tindakan tegas diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Pihak kami akan terus kekal fokus bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya