Tiga ahli BN gagal cabar usul tambahan

Tiga ahli BN gagal cabar usul tambahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiga ahli Barisan Nasional (BN) gagal mencabar kelulusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengecualikan UMNO daripada mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti berkenaan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022, 14 Januari lalu.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh ketika membatalkan permohonan tersebut menyatakan, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966, Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan memutuskan isu dalaman sesebuah parti politik.

Tiada sebarang perintah dibuat berhubung kos.

Hakim itu membuat keputusan terbabit dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh dua ahli UMNO Cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid serta ahli MIC Lembah Pantai, P. Vellasamy selaku pemohon.

Pada prosiding hari ini, kesemua pemohon diwakili peguam Thalia Rohaina Abdul Latif manakala KDN dan Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) dan UMNO yang dinamakan sebagai responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly.

Pada 15 Mei lalu, ketiga-tiga pemohon memfailkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri meluluskan usul tambahan UMNO yang tidak mempertandingkan dua jawatan utama dalam pemilihan parti itu.

Mereka memohon perintah certiorari untuk membatalkan kelulusan Menteri Dalam Negeri pada 7 Mac lalu yang mengecualikan UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 menurut peruntukan Seksyen 70 akta sama.

Pemohon juga meminta perisytiharan bahawa surat RoS bertarikh 3 Mac lalu adalah tidak teratur, bertentangan perlembagaan parti dan tidak sah.

Turut dimohon satu perisytiharan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO perlu dipertandingkan dalam masa 30 hari dari tarikh penghakiman.

Menurut afidavit yang difailkan, pada 13 Januari lalu, suatu usul tambahan UMNO dicadangkan dan diluluskan ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

RoS pula melalui surat bertarikh 3 Mac lalu menerima usul yang telah diluluskan oleh PAU.

Pada 7 Mac lalu, Saifuddin dalam satu kenyataan menyatakan pihaknya memutuskan untuk memberikan pengecualian kepada UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

Ujarnya, keputusan itu dibuat selepas pihaknya merujuk kepada Perlembagaan dan Peraturan-Peraturan Persidangan UMNO mengenai usul tambahan berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN