KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bersama ahli perniagaan Indonesia baru-baru ini hanyalah suatu kunjungan hormat semata-mata.
Perdana Menteri menjelaskan, tiada sebarang permohonan dikemukakan berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) oleh ahli perniagaan berkenaan sepanjang pertemuan tersebut.
“Isu dia curi nadir bumi, jangan alihkan (isu), saya mengadap tuanku kerana itu jadual Sultan Kedah, saya tak nak mengaitkan, itu pertemuan sultan.
“Majlis itu dengan sultan, dia tak bangkit soal REE. Isu dia kalau dia mohon ia bukan kena mengena dengan sultan, yang Sultan Kedah panggil saya ada hal-hal lain termasuk ziarah makam, itu soal lain,” katanya kepada pemberita hari ini.
Justeru, beliau memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak memanipulasi isu tersebut.
“Saya tak mahu, sebab itu melibatkan Sultan Kedah, pertemuan saya dengan sahabat dan sultan, ia tidak ada kaitan dengan perniagaan dalam bidang itu.
“Ia tidak dan saya tidak mahu kaitkan lebih-lebih kerana pertemuan itu adalah kunjungan kehormat saya dengan Sultan Kedah, tidak ada permohonan yang dikemukakan kepada Sultan Kedah,” katanya.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini mendakwa Anwar membawa hartawan dari Indonesia ke Kedah bagi memohon melombong REE.- UTUSAN










