Terima konsep ini negara Melayu, hapuskan sekolah vernakular - Dr. Mahathir - Utusan Malaysia

Terima konsep ini negara Melayu, hapuskan sekolah vernakular – Dr. Mahathir

MAHATHIR Mohamad (tengah) bercakap ketika Majlis Ilmu 'Minggu Negarawan' bertajuk 'Peradaban & Sosiologi' di Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana Putrajaya. - UTUSAN/ FAIZ ALIF ZUBI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melakukan kejutan apabila menggesa supaya sistem sekolah vernakular di seluruh negara dapat dimansuhkan.

Pandangan terbaharu itu jauh berbeza daripada ulasannya tahun lepas yang menyifatkan desakan segelintir pihak mahu penutupan aliran tersebut hanya lebih bermotifkan politik.

“Salah satu cara terbaik rapat jurang antara kaum ialah melalui pendidikan dan antaranya dihapuskan sekolah vernakular,” katanya ketika sesi soal jawab Majlis Ilmu ‘Peradaban dan Sosiologi’ diadakan bersempena Minggu Negarawan anjuran Sekretariat Proklamasi Orang Melayu di sini hari ini.

Pada 28 Julai tahun lalu, beliau ketika Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu mendakwa idea sekolah vernakular ditutup tidak wajar diberi keutamaan.

Dr. Mahathir menegaskan bahawa kaum pendatang yang meraih kerakyatan secara automatik selepas merdeka wajar menerima fakta Malaysia ialah negara Melayu.

“Kalau kita betul-betul berniat mahu jadi satu negara tanpa beza kaum, mereka kena akui ini memang negara Melayu malah nama asalnya pun memang Tanah Melayu,” jelasnya.

Walau bagaimanapun beliau kesal apabila ada kaum tertentu enggan anak mereka belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) kerana beranggapan sistem pendidikan di situ seperti imej sekolah agama.

Keadaan itu katanya, boleh diperbaiki namun beliau yakin sekiranya ditambah baik sekali pun, kaum minoriti tersebut tetap bertegas tidak mahu menghantar anak mereka ke SK.

“Etnik pendatang itu tidak hendak bercampur gaul dengan murid Melayu dan ingin mengekalkan adat budaya termasuk bahasa ibunda mereka seperti situasi negara asal. Saya hairan senario sedemikian tidak pula berlaku di negara-negara jiran bahkan kaum bukan pribumi sanggup berasimilasi menukar nama sendiri kepada berunsur tempatan.

“Contoh di Amerika Syarikat (AS), Australia dan Britain apabila imigran fasih bahasa Inggeris dan mengamalkan budaya setempat bagi diberi kewarganegaraan. Misalnya Perdana Menteri United Kingdom, Rishi Sunak berketurunan India tetapi jika kita tutup mata dengar cakap dia, pasti tidak dapat beza dengan orang tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya