PETALING JAYA: Tan Sri Azam Baki didakwa tidak profesional menjalankan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memaklumkan terus berhubung kes menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendakwa, langkah itu tidak patut kerana kedua-dua pemimpin itu adalah seteru politik.
“Kenapa Azam harus menelefon PMX (Anwar) khususnya mengenai kes siasatan yang melibatkan musuh politiknya?
“Sebab itu saya kata Azam seorang Ketua Pesuruhjaya SPRM yang tidak layak memimpin SPRM.
“Nampak sangat Azam tidak profesional serta ‘kaki bodek’ PMX!,” dakwanya dalam kenyataan, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, Anwar dalam ceramah kempen politik malam tadi dilapor mendedahkan, Azam menelefonnya dan memberitahu bahawa menantu Muhyiddin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan lari selepas terkait dengan kes ‘besar’.
Ia susulan Muhammad Adlan dan seorang peguam, Mansoor Saat dilapor dicari SPRM bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian. – UTUSAN











