Tak segan jual ikan sungai biarpun dianggap ‘busuk’ - Utusan Malaysia

Tak segan jual ikan sungai biarpun dianggap ‘busuk’

NOOR Zarifah Mohamad Basri memegang ikan patin yang dijualnya di Pasar Besar Jerantut di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Minat mendalam terhadap dunia perniagaan tidak menghalang seorang wani­ta berniaga ikan sungai di Pasar Besar Jerantut di sini meskipun kerja itu dianggap ‘kotor’ dan ‘busuk’ oleh wanita seusianya.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Noor Zarifah Mohamad Basri, 22, berkata, selain kerja itu mungkin dianggap tidak mempunyai taraf, wanita lain se­usianya juga dilihat lebih berminat bekerja di pejabat, memakai alat solek dan berpakaian cantik serta berkasut tumit tinggi.

“Tapi saya lebih selesa begini dan sudah mula berniaga sejak lepas habis belajar lagi iaitu pada 2018 sebelum memasuki alam perkahwinan pada 2021.

“Saya berkecimpung dalam bidang ini selain untuk meneruskan legasi perniagaan keluarga, ia juga dapat memberikan pendapatan yang cukup untuk keselesaan dan membantu pendapatan suami yang be­kerja di Majlis Daerah Jerantut.

“Dianggarkan sehari saya akan memperoleh keuntungan kasar sekitar RM200 sehingga RM300 di mana dengan keuntungan yang diperoleh ini dapatlah gunakan untuk membeli keperluan harian, membayar bil-bil dan pinjaman kereta,” katanya di sini semalam.

Noor Zarifah berkata, perniagaan Z Rie Enterprise yang diusahakan itu adalah hasil bantuan kedua ibu bapanya selain dibantu abang, Muhammad Zarif, 24, yang bertindak sebagai pembekal ikan sungai dari sangkar diusahakan di Sungai Pahang di Kampung Pulau Mansok.

Katanya, selepas tamat tingkatan lima, dia ada menyambung pengajian dalam bidang perundangan di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

“Sekejap sahaja saya pergi sambung belajar dan saya ambil keputusan pulang dan berniaga sebab saya rasa diri lebih serasi dalam bidang ini,” kata ibu kepada seorang cahaya mata ber­usia setahun enam bulan itu.

Katanya, empat tahun terlibat dalam perniagaan ikan su­ngai banyak mengajarnya selok-belok perniagaan terbabit.

“Berniaga ikan sungai se­perti patin dan tilapia ini ada pasang surutnya. Saya juga pernah mengalami kerugian besar kerana ikan tilapia banyak mati dan tidak dapat dijual.

“Namun setakat ini walaupun dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar, saya masih dapat teruskan perniagaan ini tambahan pula saya sudah mempunyai pelanggan tetap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN