Subsidi naik: Pendapatan pesawah meningkat 10-15 peratus

Subsidi naik: Pendapatan pesawah meningkat 10-15 peratus

AZIZAN Mahmud (tiga dari kanan) menunjukkan buku yang merekodkan harga padi baharu kepada para pesawah lain selepas kerajaan mengumumkan peningkatan harga subsidi padi di Kampung Bawah Bukit, Chuping, Perlis semalam.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pendapatan pesawah meningkat 10 ke 15 peratus berikutan kenaikan subsidi harga padi sekali gus membantu meringankan be­ban golongan berkenaan yang sudah berpuluh tahun memperjuangkan isu itu.

Sebelum ini, bagi satu tan metrik hasil tanaman pesawah memperoleh pendapatan sekitar RM1,200 dan dengan kenaikan tersebut, petani sekurang-kurangnya mampu menjana anggaran pendapatan sehingga RM1,500 iaitu peningkatan sebanyak RM300.

Jumlah pendapatan itu secara tidak langsung memberi nafas kepada pesawah yang turut berdepan kenaikan harga input pertanian sejak beberapa tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah yang sudah lebih 40 tahun mengusahakan tanaman padi, Azizan Mahmud, 79, berkata, semusim dia memperolehi hasil sekitar empat atau lima tan metrik per-hektar dengan kenaikan tersebut dia mampu menjana pendapatan sekitar RM7,500.

Dia yang mengusahakan tanaman di kawasan seluas tiga hektar di Bawah Bukit Chuping itu berkata, menerusi kenaikan subsidi harga padi berkuat kuasa semalam, dia mampu menjana lebih pendapatan selepas ditolak semua kos.

Kata Ketua Kelompok Unit Peladang Balik Bukit itu, kenaikan subsidi harga padi sehingga RM140 bagi satu tan metrik itu disifatkan antara paling tinggi yang sekurang-kurangnya mampu meringankan beban pesawah.

“Memang sudah lama tunggu kenaikan subsidi harga padi dan alhamdulilah akhirnya menjadi kenyataan. Di sebalik peningkatan kos input pertanian, kenaikan harga itu sekurang-kurangnya boleh mem­bantu kami.

“Cuma diharapkan kalau boleh kerajaan pertimbang mengawal harga input pertanian ini yang terus meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, perjuangan pesawah untuk menikmati subsidi padi yang lebih tinggi sejak 25 tahun lalu membuahkan hasil apabila kerajaan mengumumkan kenaikan daripada RM360 kepada RM500 bagi satu tan metrik berkuat kuasa hari ini.

Kenaikan RM140 bagi setiap tan metrik itu adalah yang paling tinggi dalam tempoh tersebut sekali gus menyuntik semangat kepada petani untuk terus mengusahakan sawah dan mengekalkan keterjaminan bekalan beras negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah menaikkan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) itu membolehkan pesawah di seluruh negara menerima sekurang-kurangnya RM1,700 bagi setiap tan metrik tuaian padi mereka selepas ini.

Seorang lagi pesawah, Mohd. Nazri Subuh, 48, berkata, dia yang mengusahakan tanaman di kawasan seluas lima hektar dijangka memperolehi pendapatan sekitar RM30,000 musim ini melalui kenaikan subsidi itu.

Katanya, kenaikan pendapatan dijangka sehingga RM300 dengan satu hektar kawasan tanaman boleh menghasilkan sekitar empat sehingga lima tan metrik.

“Kos sekarang pun tinggi seperti input pertanian, jentera, upah dan sebagainya. Dengan kenaikan tersebut, sekurang-kurangnya bolehlah membantu kami para pesawah.

“Cuma yang ingin dibangkitkan bagaimana dengan hasil-hasil sebelum ini, adakah akan termasuk dalam skim peningkatan subsidi tersebut,” kata­nya yang mengusahakan tanaman padi di Balik Bukit di sini sejak 20 tahun lalu.

Seorang lagi pesawah, Raffizal Rahmad,35, berkata, pe­ningkatan subsidi harga padi itu mampu memberi sedikit ruang untuk para pesawah ‘bernafas’ dan ia susah lama dinantikan oleh golongan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizi Marzukhi berkata, pe­ningkatan harga subsidi harga padi sebanyak RM140 per tan metrik sangat ditunggu-tunggu oleh pesawah dan juga pengilang.

Katanya, ia secara tidak langsung juga membantu kilang membeli padi pada harga yang lebih tinggi apabila dicampur subsidi

“Sebagai wakil pengilang dan pembeli padi, saya juga menyeru agar petani berusaha untuk menuai padi mengikut disiplin dan prosedur operasi standard (SOP) yang sebaik mungkin. Kerana padi yang masak, bersih daripada kekotoran, tiada padi muda dan wap basah rendah akan memberi potongan padi lebih rendah.

“Potongan padi yang rendah akan memberi berat bersih padi yang lebih tinggi dan seterus­nya meningkatkan lagi jumlah subsidi dan pendapatan total petani,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×