KUANTAN: Seorang suami cekal menjalankan tanggungjawab menjaga isteri yang menghidap kanser paru-paru tahap empat sejak lima tahun lalu di Perumahan Pandan Sejahtera 3, dekat Jalan Pintas Kuantan-Kemaman di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Farhan Mat Salleh, 38, berkata, dia tidak menyangka sakit belakang dihidapi isterinya, Nor Izah Abd. Hamid, 37, selama hampir setahun rupa-rupanya kanser.
Menurutnya, sejak Nor Izah disahkan oleh pihak hospital pada 2019 menghidap penyakit itu, dia mula mengambil alih tugas mengurus dua anak yang masih kecil.
“Kini Nor Izah banyak menghabiskan masa terlantar dan tidak dapat bergerak normal seperti dahulu, malah adakalanya terpaksa menggunakan alat bantuan oksigen dan berat badannya semakin susut.
“Setiap hari saya akan menguruskan keperluan di rumah termasuk memasak dan membasuh pakaian dengan dibantu ibu mentua yang berulang-alik dari kampung Felda Chini, di Pekan,” katanya.
Sebelum itu Pengerusi Persatuan Ziarah Sahabat Kanser, Zaki Yahya bersama rombongannya menziarahi Nor Izah.
Muhammad Farhan berkata, isterinya perlu mendapatkan rawatan kimoterapi berbeza dengan pesakit kanser lain memandangkan dia perlu menjalaninya sepanjang tahun kehidupannya.
Jelasnya, selagi ada kudrat, dia akan terus berusaha bersama keluarga membantu isterinya untuk melawan penyakit tersebut.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Muhammad Farhan di talian 019-3598606 untuk menyalurkan bantuan. – UTUSAN










