Strategi PN mengena, sapu 3 DUN bawah Tasek Gelugor - Utusan Malaysia

Strategi PN mengena, sapu 3 DUN bawah Tasek Gelugor

MAZLAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) kini muncul sebagai pencabar terkuat politik dalam negara, susulan kejayaan mengejut dengan berjaya menguasai 11 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023. 

Malah, kejayaan menyapu bersih ketiga-tiga DUN di bawah parlimen Tasek Gelugor iaitu DUN Permatang Berangan, DUN Sungai Dua dan DUN Telok Ayer Tawar sudah pasti memberi tamparan hebat kepada DAP khususnya. 

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali ketika dihubungi berkata, dalam hal ini, kepimpinan ahli parlimennya, Datuk Seri Wan Saiful Wan Jan terserlah dalam merangka strategi menarik minat pengundi khususnya anak muda supaya menyokong parti berkenaan. 

“Kelantangan Datuk Wan Saiful lantang mengkritik kepimpinan dan dasar-dasar kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa rasa takut meraih rasa kagum khalayak dan perasaan hormat terhadap beliau. 

“Saya juga menilai naratif kluster mahkamah yang dilemparkan terhadap Wan Saiful dilihat tidak berkesan. Rakyat kelihatan tidak terpengaruh dengan naratif tersebut dan percaya ia adalah satu bentuk pendakwaan terpilih terhadap beliau.

“Keberanian beliau membawa isu-isu setempat ke dalam Dewan Rakyat seperti pencemaran sungai akibat pengurusan ladang babi tidak terkawal dan kos sara hidup nelayan serta pesawah padi, memberi impak yang besar terhadap imej PN di mata rakyat, dan secara tidak langsung mencetuskan kepercayaan yang tinggi terhadap gabungan Bersatu, PAS dan Gerakan tersebut, ” katanya. 

Untuk rekod, Wan Saiful pada PRU15 melakar kemenangan selesa dengan majoriti sebanyak 12,252 setelah memperoleh 31,116 undi bagi kerusi Parlimen Tasek Gelugor. 

Kemenangan itu disifatkan sebagai di luar jangkaan dengan bilangan pengundi juga dilihat meningkat secara signifikan mencecah 83.83 peratus berbanding Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Ini membolehkan beliau membina hubungan dengan pemimpin masyarakat setempat pelbagai kaum, terutama warga India. Dalam waktu yang singkat juga beliau berjaya mewujudkan hubungan baik dengan agensi-agensi kerajaan terutama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah, dan ini membolehkan bantuan dapat disalurkan dengan pantas kepada rakyat. 

“Ini sekaligus membolehkan pengundi di ketiga tiga DUN dalam Parlimen Tasek Gelugor ini menilai dan melihat sendiri kejayaan wakil rakyatnya melaksanakan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh.

“Maka tidak hairanlah faktor ketokohannya menghasilkan gelombang sokongan rakyat terhadap PN yang mampu mencipta hatrik membolot ketiga-tiga kerusi DUN dalam parlimen ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN