Singkir pendakwa raya kes Ahmad Zahid, Pejuang tuntut penjelasan Peguam Negara

Singkir pendakwa raya kes Ahmad Zahid, Pejuang tuntut penjelasan Peguam Negara

Rafique Rashid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menuntut penjelasan Peguam Negara susulan penyingkiran Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran daripada mengetuai pasukan pendakwaan bagi 47 pertuduhan dana Yayasan Akal Budi melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Ketua Penerangannya, Rafique Rashid berkata, langkah itu menimbulkan pelbagai persoalan sedangkan pertuduhan tersebut kini berada di peringkat pembelaan. 

“Tidak boleh dinafikan pasukan pendakwaan kes Yayasan Akal Budi dikemudi sebaiknya oleh Raja Rozela Raja Toran sehingga tertuduh dipanggil membela diri. 

“Perbicaraan di tahap pendakwaan selama 53 hari bermula 18 November 2019 sehingga 19 Mac 2021 membabitkan 99 saksi. Kayu ukur kejayaan pasukan pendakwaan sudah tentu apabila Ahmad Zahid dipanggil membela diri yakni segala elemen-elemen pertuduhan berjaya dibuktikan. 

“Maka sekiranya begitu, mengapa ketua pasukan pendakwaan digantikan? Peguam Negara tidak boleh berdiam diri berpeluk tubuh. Penjelasan wajib diberikan. Rakyat memerhati dan menilai,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Terdahulu, media melaporkan, Raja Rozela digantikan dan tugasan beliau diambil oleh pendakwa raya lain. 

Mengulas lanjut, Rafique berkata, pelbagai isu sebelum ini yang terkait dengan kes Yayasan Akal Budi dan 47 pertuduhan kini semakin diselubungi misteri dan menimbulkan tanda tanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN