Setia kepada kerajaan walaupun ideologi politik berbeza

Setia kepada kerajaan walaupun ideologi politik berbeza

CUEPACS
ADNAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penjawat awam memainkan peranan dalam menyokong dasar-dasar negara dan menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, walaupun mempunyai ideologi politik berbeza.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, pada masa sama Cuepacs berharap pemimpin kerajaan sentiasa memahami ikatan itu agar penjawat awam tidak didakwa menyebelahi mana-mana pihak.

“Pemimpin dan penjawat awam perlu bersikap profesional untuk memastikan negara ini benar-benar menelusuri sistem demokrasi yang matang serta memberi manfaat kepada semua pihak.

“Selain itu, kerjasama erat dengan kerajaan harus dikekalkan bagi memastikan setiap dasar dan polisi yang dibawa kerajaan pada hari ini dapat memberikan impak maksima kepada rakyat dan negara,” katanya selepas Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2023 hari ini.

Adnan turut menyeru dan mengajak seluruh warga perkhidmatan awam untuk terus bersama-sama dengan kerajaan bagi membangunkan Malaysia yang hebat dengan nilai dan aspirasi dibawa melalui konsep Malaysia Madani.

Beliau juga mahu penjawat awam menyahut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu memartabatkan negara dengan memaknai kemerdekaan dari segi jiwa dan pemikiran yang merdeka.

“Penjawat awam mempunyai tugas yang berat dalam mempertahankan makna sebenar kemerdekaan yang dikecapi negara pada hari ini.

“Penjawat awam perlu terjemahkan erti kemerdekaan dengan meningkatkan prestasi dan semangat patriotisme selain menilai semula peranan dan tanggungjawab mereka bagi memastikan negara terus mengecapi kemakmuran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya