Serap terus lulusan TVET ke dalam industri

Serap terus lulusan TVET ke dalam industri

tvet
SEKUMPULAN pelajar menyertai pertandingan TVET yang mencungkil bakat inovasi dalam kalangan belia negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia perlu mewujudkan undang-undang bagi mewajibkan industri mengambil lulusan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) bekerja sebagai satu usaha menarik anak muda menceburi bidang berkenaan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Canselor Universiti Antarabangsa UNITAR, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, langkah itu bagi menjamin graduan di semua institusi yang menawarkan TVET mendapat pekerjaan.

Beliau berkata, usaha itu merupakan satu-satunya cara menarik minat pelajar dan ia dipercayai sudah dilaksanakan di kebanyakan negara luar seperti Jerman, Rusia, Afrika Selatan, China, Poland dan Singapura.

“Di Jerman misalnya, pelajar TVET akan dihantar menjalani latihan industri kemudian perlu diserap sebagai pekerja di industri terlibat. Jadi, industri main peranan sebab undang-undang Jerman (tidak benarkan) mereka tolak (pelajar), kena buat latihan dan diserapkan sebagai pekerja.

“Perkara ini tidak berlaku di Malaysia. Industri tidak main peranan utama dan biarkan kepada universiti atau kolej (uruskan). Saya pun sudah utarakan banyak kali, sebut ini caranya, tetapi masih tidak berjalan.

“Oleh itu, kementerian perlu bawa (langkah ini) ke Parlimen dan jadikan sebagai undang-undang. Kalau ada jaminan itu, mereka tidak akan menolak,” katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Mengulas berhubung langkah menarik anak muda melibatkan diri dalam bidang berkaitan TVET, Sahol Hamid berkata, kementerian perlu bawa (langkah ini) ke Parlimen dan jadikannya sebagai undang-undang.
.
Akhbar ini baru-baru ini melaporkan lebih 70 peratus atau 4,630 daripada 6,361 calon yang ditawar kemasukan ke Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) bagi sesi pertama tahun ini menolak melanjutkan pelajaran dalam TVET.

Angka tersebut mencetuskan kebimbangan terhadap masa depan Malaysia untuk melahirkan pekerja berkemahiran sekiranya institusi yang menawarkan pelbagai kemudahan dan pemberian elaun bulanan oleh kerajaan tidak menjadi pilihan belia.

Ini berikutan ILKBS tidak mengenakan yuran pengajian kerana semua ditanggung kerajaan. Pelajar cuma perlu membayar bayaran asas dan teknikal yang dikenakan sekali sepanjang pengajian dengan kadar berbeza mengikut kursus yang diambil.

Syarat kemasukan ke ILKBS juga mudah iaitu pemohon hanya perlu berumur antara 18 hingga 30 tahun; warganegara; tamat tingkatan lima serta boleh membaca, menulis dan mengira; sihat tubuh badan dan bujang.

Mengulas lanjut, Sahol Hamid berkata, TVET penting untuk keperluan negara supaya mempunyai tenaga pekerja yang mahir agar industri dapat terus berkembang untuk kebaikan ekonomi negara.

“TVET sekarang lebih penting daripada belajar di universiti. Di Jeman pentingkan TVET, universiti untuk penyelidikan sahaja,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berpendapat, pemerkasaan TVET perlu memberi perhatian terhadap aspek silibus dan kemudahannya supaya lebih ramai berminat.

“Industri memerlukan tenaga kerja yang boleh buat kerja dengan minimal, jadi perlu menyediakan kemudahan peralatan latihan dan bahan guna yang sepadan dengan teknologi terkini supaya dapat capai standard minimum industri.

“Kemudahan peralatan memerlukan teknologi kemudahan terkini simulator latihan berbanding beli mesin sama dengan industri yang mana bila letak di institusi ia tidak boleh digunakan sebab kemampuan tidak semaksimum di industri.

“(Namun), kemudahan peralatan ini memerlukan sokongan kerajaan sama ada geran kesepadanan latihan atau pinjaman kepada pembangunan latihan.

“Penekanan itu amat penting, jadi kalau tidak dibantu institusi latihan untuk tingkatkan kemudahan seperti simulator latihan, maka kita tidak dapat penuhi keperluan industri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN