Selepas 20 tahun, projek perumahan dijangka siap - Utusan Malaysia

Selepas 20 tahun, projek perumahan dijangka siap

AKMAL Nasrullah Mohd. Nasir (tiga dari kiri) mendengar penerangan pegawai MPKK berkenaan projek perumahan terbengkalai Taman Mayang Fasa 2 di Kuala Kangsar. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Selepas 20 tahun diluluskan, pembinaan perumahan Taman Mayang Fasa 2 di sini dijangka boleh dikeluarkan daripada senarai projek perumahan swasta terbengkalai menjelang tahun depan hasil bantuan kerajaan Pusat.

Bantuan itu adalah peruntukan sebanyak RM1.5 juta yang akan disalurkan melalui Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) bagi menyiapkan projek tersebut terutama usaha menaik taraf loji rawatan kumbahan dan kerja-kerja berkaitan.

Peruntukan itu diserahkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir yang hadir meninjau projek tersebut hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, peruntukan datang daripada inisiatif Bajet 2023 bagi tujuan menyelesaikan projek-projek terbengkalai.

“Dana ini kita salurkan secara terus kepada MPKK yang akan dijadikan sebagai agensi pelaksana.

“Juga telah diberikan komitmen oleh MPKK bahawa projek akan siap pada Disember 2023 dan selepas semua proses selesai kita mengharapkan projek ini dapat dikeluarkan daripada senarai projek terbengkalai menjelang tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut kementerian itu, projek perumahan ini diisytiharkan terbengkalai pada 28 September 2018 terdiri daripada 65 unit rumah teres dua tingkat serta 22 unit rumah berkembar dua tingkat dengan kemajuan 95 peratus siap.

Berkenaan projek terbengkalai, Akmal Nasrullah merasakan ada ruang untuk melakukan pindaan akta bagi meningkatkan kecekapan menguruskan industri secara keseluruhan termasuk menangani projek terbengkalai.

Namun jelasnya, sebarang usaha ke arah itu perlu dilakukan secara berhati-hati melibatkan pelbagai pihak dan maklum balas memandangkan ada projek bermasalah yang berlaku disebabkan hal berbeza.

“Sejak Kerajaan Perpaduan ini, kita bertindak secara lebih berfokus. Untuk tempoh bagi saya enam hingga sembilan bulan pertama tahun 2023 adalah untuk meredakan keadaan industri untuk projek-projek sakit khususnya mengambil kira kesan pasca Covid-19 yang banyak mengganggu industri pembinaan,” Katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN