SEGiM perlu dipercepat, noktahkan penindasan

SEGiM perlu dipercepat, noktahkan penindasan

MOHD. EFFENDY ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dilihat sebagai ‘penyelamat’ bagi pekerja-pekerja e-hailing dan p-hailing daripada terus ditindas, jadi ia perlu disegerakan bagi menoktahkan kesengsaraan mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Effendy Abdul Ghani berkata, mempercepatkan SEGiM merupakan langkah yang tepat bagi memastikan pekerja-pekerja ekonomi gig tidak lagi ditindas.

Katanya, pelbagai penindasan dan isu tidak adil dihadapi oleh kumpulan pekerja tersebut kerana ketiadaan undang-undang yang mengiktiraf dan melindungi hak mereka, jadi terdapat pihak mengambil kesempatan.

“Industri ekonomi gig ini merupakan satu industri pekerjaan yang diiktiraf sebagai informal atau dikategorikan sebagai pekerja sambilan. Namun, kini menjadi pekerjaan tetap selepas perubahan landskap pekerjaan negara selepas Covid-19.

“Jadi dalam hal ini, penubuhan SEGiM perlu dipercepartkan bagi kita membendung mahupun mengawal kes-kes seperti penindasan dan sebagainya kerana pekerja-pekerja ekonomi gig ini akan mula dilindungi di bawah undang-undang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, kira-kira 170,000 pekerja e-hailing menghadapi kesukaran sehingga terpaksa membanting tulang bagi mencari pendapatan iaitu bekerja sehingga 14 jam, namun pendapatan diperoleh tidak memberansangkan.

Situasi sama turut dihadapi oleh pekerja-pekerja p-hailing yang mana mereka terpaksa ‘mengejar’ pesanan sehingga dikhuatiri membahayakan nyawa mereka ketika berada di atas jalan raya.

Jadi, penubuhan SEGiM seperti mana yang diusulkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai langkah yang tepat untuk mengakhiri masalah dihadapi mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, hasil penilaian dibuat olehnya mendapati tidak ada mana-mana pekerja industri gig hidup mewah tetapi hanya syarikat penyedia sahaja kaya-raya.

“Pekerja-pekerja ekonomi gig yang menggadaikan nyawa mereka tidaklah berada di situasi yang lebih baik iaitu mendapat perndapatan memuaskan. Lihat sahaja berapa banyak perkara perlu ditolak daripada hasil kasar pendapatan untuk memastikan mereka dapat bekerja.

“Industri ekonomi gig ini sekarang terlalu berat sebat, siapa yang buat kerja? Siapa berhadapan dengan pelbagai risiko Tetapi siapa pula mendapat keuntungan? Jadi ini perlu ditamatkan. Tidak boleh isu ini hanya dibangkitkan pada pilihan raya lalu dimatikan selepas tamat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN