Sedekad Gegar Vaganza - Utusan Malaysia

Sedekad Gegar Vaganza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Susulan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat dari seluruh negara, rancangan realiti, Gegar Vaganza (GV) bakal diteruskan bagi musim kesepuluh.

Sempena sedekad GV dan tanda penghargaan buat seluruh rakyat di negara ini, pihak Astro menghadiahkan buah tangan khas iaitu GV Roadshow 2023.

Bakal menjelajah ke empat lokasi di empat negeri iaitu Kuantan, Pahang; Johor Bahru; Kuala Lumpur serta sebuah negeri di sebelah utara yang akan diumum kelak, jerayawara itu dihadiahkan khas buat peminat GV yang sentiasa memberikan sokongan padu sepanjang sembilan tahun bersiaran.

Ketua Saluran Astro Ria, Prima dan Warna, Norzeha Mohd. Salleh berkata, GV Roadshow 2023 akan ke lokasi-lokasi tersebut bermula hujung minggu ini untuk membolehkan peminat menyaksikan penyanyi kegemaran mereka beraksi secara langsung.

“GV Roadshow 2023 ini bagaikan merealisasikan impian kami dalam merapatkan silaturrahim antara peminat dan penyanyi-penyanyi tersohor di negara ini. Kami berharap pengalaman bersua muka dengan bekas peserta GV tidak akan dilupakan nanti.

“Menariknya setiap jerayawara akan disertai oleh alumni GV yang akan membuat persembahan dalam mini konsert di setiap lokasi,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Astro di Bukit Jalil, semalam.

GV Roadshow 2023 akan berlangsung di Tasek Kotasas, Kuantan, Pahang pada 12 Ogos; Puteri Harbour, Johor Bahru (26 Ogos 2023), Kuala Lumpur dan juga di salah sebuah negeri di utara yang akan diumumkan nanti.

Bintang-bintang GV seperti Wann, Elyana, Dina Nadzir, Aweera, Tom, Fuad Rahman, Sham Visa dan ramai lagi bakal menyerikan pentas GV Roadshow 2023 kelak.

Selain itu, Jamming with the Stars, jerayawara istimewa bintang GV dari musim pertama hingga sembilan akan menemui peminat setiap Khamis bermula 17 Ogos sehingga 17 September, pada pukul 9 sehingga 10 malam di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur.

GV ternyata merupakan platform paling ampuh serta rancangan yang memberi nafas baharu serta peluang kerjaya buat penyanyi seperti Aliff Aziz (GV8), Aishah (GV4), Noryn Aziz (GV5), Hady Mirza serta Naqiu (GV6), Siti Nordiana (GV3) dan ramai lagi.

Rancangan realiti ini membuktikan kepentingannya menjadi pemangkin semula kerjaya-kerjaya penggiat-penggiat seni tanah air dan serantau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN