“Saya tidak mahu kehilangan zaman kanak-kanak saya,”
Demikian respons pelakon berbakat besar Putri Qaseh,15, yang menceritakan tentang cintanya terhadap ilmu dan pelajaran walaupun sibuk di set penggambaran.
Bagi pemegang trofi pelakon Kanak-kanak Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 itu, kehidupan di sekolah bukan sekadar tempat menimba ilmu tetapi juga bahagian penting dalam kehidupan zaman kanak-kanak seseorang.
Menurut gadis yang mesra disapa sebagai Qaseh ini, di sana dia bergaul dengan rakan-rakan sebaya dan saling bertukar cerita tentang kegiatan seharian.
“Sebolehnya saya tidak mahu ponteng sekolah. Namun saya akan ambil kelas tambahan agar tidak ketinggalan dalam pelajaran sekiranya penggambaran mengambil masa yang lama.
“Saya bersyukur kerana cikgu di sekolah saya mengambil berat dan memberi kerjasama. Kadangkala mereka akan telefon.
“Kalau boleh saya tidak mahu supaya dapat bercampur dengan kawan-kawan. Saya enggan kehilangan zaman kanak-kanak saya,” katanya ketika hadir di studio Media Mulia untuk sesi fotografi, baru-baru ini.
Putri Qaseh atau nama sebenarnya Putri Syahadah Nurqaseh Izwandy memaklumkan, walaupun pernah memenangi anugerah berprestij, dia tetap seorang pelajar biasa di sekolah.
Oleh itu, tiada layanan istimewa diberikan kepadanya baik dari guru mahupun rakan sebaya.
“Saya merupakan pengawas pusat sumber dan aktif dengan kegiatan di sekolah khususnya membabitkan pertandingan seni.
“Mereka layan saya seperti pelajar biasa. Ada dalam kalangan mereka yang tahu saya berlakon, ada juga yang tidak. Saya tidak hebohkan,” tambahnya.
Peminat naskhah berunsur seram itu juga memaklumkan akan berbincang dengan ibunya sebelum menerima sebarang tawaran lakonan. Kongsinya, dia selesa membawa watak yang tidak klise.
“Saya akan baca skrip sampai habis dan lebih dahulu berbincang dengan ibu sebelum menerima sebarang tawaran berlakon.
“Dari dulu, saya sangat minat pada watak yang mencabar dan beremosi khususnya naskhah seram.
“Watak gadis muda yang berperwatakan comel mungkin tidak sesuai dengan saya,” katanya yang meminati lakonan Maya Karin dan Nadhir Nasar.
GELANDANGAN DALAM WALID
Selepas membintangi beberapa filem iaitu Garang, Penunggang Agama dan Roh, kini Qaseh menonjolkan bakat lakonannya menerusi filem Walid arahan Areel Abu Bakar.
Qaseh dalam filem ini melakonkan watak seorang gelandangan bernama Aisha yang disifatkannya berbeza dengan karakter yang pernah dibawanya sebelum ini.
“Aisha merupakan Orang Asli yang belajar membaca dengan seorang lelaki bernama Walid.
“Hidupnya berubah selepas bertemu lelaki tersebut.
“Seronok bekerja dalam Walid kerana semua akrab. Kami ibarat keluarga,” tambahnya yang menjalani penggambaran filem itu di Gurun, Kedah.
Walid menceritakan kisah seorang guru yang mengajar kanak-kanak kurang bernasib baik di sebuah kampung.
Terdahulu, filem Walid pernah ditayangkan Amerika Syarikat iaitu Cine Village, New York dan Laemmle Glendale, Los Angeles.
QFilem tersebut akan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 14 September 2023. Pelakon yang turut menjayakan Walid adalah Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar dan Fieyna Tajudin.