KUALA KEDAH: Ahli dan penyokong Perikatan Nasional (PN) perlu menyokong calon-calon yang dipilih gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ni walaupun terdapat bekas ahli dan pimpinan parti di kawasan tertentu, bertanding sebagai calon Bebas.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, ketika ini masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan sama ada tindakan individu berkenaan akan menjejaskan peluang calon-calon PN di kawasan berkenaan.
“Terlalu awal sebab baru beberapa hari (penamaan calon). Kita tengoklah sehari dua lagi tentang apa yang boleh dilakukan. Tetapi kalau orang itu sudah dipecat, bukan lagi ahli Pas, nak boleh buat apa kan? Ini negara demokrasi.
“Kalau nak larang, sepatutnya sebelum (penamaan calon) tetapi kita tak tahu nak jadi sampai tahap itu. Tetapi bertanding calon Bebas ini bukan ahli Pas saja malah dari UMNO termasuk dalam kalangan penyandang pun ada juga,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Sembang Santai DUN Kubang Rotan di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas tindakan bekas Timbalan Yang Dipertua Pas Langkawi, Mazlan Ahmad yang bertanding di kerusi DUN Kuah dan Bendahari Pemuda Pas Langkawi, Safwan Hanif Shafie bertanding di DUN Ayer Hangat sebagai calon Bebas dalam PRN kali ini.
Selain itu, bekas Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Jerlun, Abdul Ramli turut bertanding sebagai calon Bebas di DUN Ayer Hitam.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menempelak laporan sebuah portal yang memetik kenyataan seorang pakar ekonomi, kononnya kemenangan PN mampu menjadi penghalang ekonomi.
“Hanya orang gila saja cakap begitu. Apa sangkut-paut parti kerana ekonomi dipengaruhi banyak faktor lain dengan pelbagai jabatan, agensi, syarikat pelaburan serta swasta terlibat.
“Ada negeri maju tak ada PH dan ada negeri mundur tak ada PN. Bagi saya analisis ini mengarut dan tiada asas sama sekali,” katanya. –UTUSAN










