Saifuddin dedah kecurian REE turut berlaku di tempat lain

Saifuddin dedah kecurian REE turut berlaku di tempat lain

SAIFUDDIN Nasution Ismail ketika sidang akhbar berkaitan REE di Pejabat PKR Kedah, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri ini didakwa tidak hanya berlaku di kawasan milik Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah iaitu di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik sahaja.

Sebaliknya menurut Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kecurian mineral berharga itu turut berlaku di satu lagi kawasan milik anak syarikat kerajaan negeri (GLC) tersebut di Kampung Bendang Man.

Tanpa mendedahkan bila kecurian itu berlaku, Saifuddin berkata, beberapa tangkapan telah dilakukan oleh pihak berkuasa dengan lima guni REE turut dirampas daripada pihak disyaki terlibat.

“Kejadian ini berlaku dalam Ladang MBI Kedah, Felcra Berhad di kampung itu yang saya difahamkan atas nama eksplorasi dan polis juga sudah ambil tindakan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat PKR Kedah di sini, hari ini.

Bersabit perkara itu kata Saifuddin, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor selaku Pengerusi MBI perlu menjelaskan mengapa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) perbadanan itu boleh mengeluarkan surat bertarikh 3 Mei lalu kepada Jangka Bakat Minerals Sdn. Bhd.

“Tujuannya apa (Beri kebenaran masuk ke tanah MBI)? Macam biasalah, kalau Mahir Binari Sdn. Bhd. itu untuk pembukaan ladang hutan, Jangka Bakat ini pula berkaitan pengambilan sampel. Baik ladang hutan atau pengambilan sampel, ini adalah pintu kepada insiden kecurian di kawasan ini,” katanya.

Dalam pada itu Saifuddin berkata, apa yang dikesalkan adalah kecurian REE atas nama eksplorasi itu terus berlaku ketika pelbagai pendedahan dibuat mengenainya.

“Berapa banyak sampel nak ambil dan berapa banyak lagi surat kebenaran akan dikeluarkan MBI Kedah untuk lesen pengambilan sampel? Muhammad Sanusi kena tanya perkara ini kepada CEO MBI,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin mempersoalkan bagaimana Muhammad Sanusi boleh mengeluarkan kenyataan kononnya isu kecurian REE telah selesai, ketika beberapa pihak berkuasa masih menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap kejadian itu.

“Beliau kata dah selesai tetapi saya kata belum. Sebabnya polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia masih siasat, manakala Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah hantar hasil siasatan mereka kepada penasihat undang-undang, Kementerian Alam Sekitar.

“Selain itu, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah pula belum siasat di bawah Akta Mineral Kedah 2004. Jadi macam mana beliau kata isu ini dah selesai,” katanya.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, kenyataan dibuat Muhammad Sanusi kononnya isu itu telah selesai hanyalah untuk mengikat kesetiaan penyokong tegar Pas.

“Sasaran saya pula adalah pengundi atas pagar. Walaupun beliau kemukakan ‘The Greater Kedah’, tetapi saya kata jika rakyat Kedah tak hentikan perbuatan ini, ‘The Greater Kedah’ itu akan jadi ‘The Greatest Robbery Of REE’,” katanya.

Katanya, beliau akan terus bercakap dan menghebahkan mengenai isu REE di Kedah walau apa jua keputusan yang bakal tercatat dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN