REMBAU: Setiap kali tibanya bulan kemerdekaan, sebuah rumah di Kampung Sungai Timun, di sini pastinya menjadi tumpuan ramai kerana dihiasi dengan ratusan Jalur Gemilang dan pelbagai hiasan menarik.
Menurut Mohd. Faiz Ahad, 39, dia tidak lokek berbelanja semata-mata untuk menghias kediaman keluarganya itu dengan bendera Jalur Gemilang.
Tidak cukup dengan itu, dia juga mengakui sanggup mencari serta mengumpul lebih 50 tayar terpakai di mana-mana kedai tayar bagi tujuan mencipta pelbagai rekaan sempena sambutan hari kebangsaan.
Jelasnya, semangat menghias rumah setiap kali bulan kemerdekaan itu sudah menjadi tradisi buatnya sekeluarga terutama ibunya, Fatimah Jantan, 72.
“Cukup lah bila ibu yang sudah pun bergelar warga emas memacakkan sendiri Jalur Gemilang di hadapan rumah. Kami sudah faham dengan semangatnya itu jadi kami pula meneruskan usaha menghias rumah dengan bendera serta pelbagai rekaan.
“Antara rekaan termasuklah tanjak dari tayar terpakai, bunga raya dari kain terpakai, cendawan batu diwarnakan mengikut warna bendera serta memakaikan baju songket kepada replika patung,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Faiz lagi, dia berasa gembira apabila semangat yang dimilikinya itu turut dicontohi oleh isteri, Noraini Sharif, 40, dan tiga anaknya yang berusia enam tahun hingga 16 tahun.
Menurutnya lagi, pada tahun ini, mereka membuat hiasan motosikal menggunakan tayar terpakai serta paip PVC yang juga dihiasi bendera.
“Anak-anak pun turut sama buat dan kami menggunakan duit bekerja kampung bagi membeli bahan-bahan ini.
“Bila habis bulan kemerdekaan kami simpan semuanya dengan baik dan akan menambah barang sedikit demi sedikit menggunakan wang yang saya peroleh dengan bekerja kampung,” katanya.
Menurutnya lagi, dia berharap agar rakyat Malaysia dapat menyemarakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan dengan menghias kediaman dengan Jalur Gemilang. -UTUSAN










