TELUK INTAN: Keadaan empat beranak yang tinggal di rumah daif di Jalan Woo Saik Hong di sini mendapat perhatian beberapa pihak yang datang membuat penilaian untuk keluarga itu dibantu.
Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Teluk Intan antara pihak datang melihat keadaan rumah Lai Seng Havy, 70, yang bekerja sebagai tukang bot dan tinggal di rumah itu bersama isteri dan dua anaknya.
Pegawai Eksekutif Synergy Pejabat Perkeso Teluk Intan, Aiman Yusrin Ahmad Aminuddin berkata, berdasarkan lawatan pihaknya mendapati keadaan rumah itu sangat memerlukan baik pulih.
Menurut beliau, antaranya tiang rumah yang telah senget, dinding juga banyak jatuh dan rosak sehingga berlubang, keadaan lantai tidak sekata, selain keadaan dapur yang berbahaya kerana masih memasak menggunakan dapur kayu.
“Kami sudah memanjangkan perkara itu kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain pihak,” katanya.
Terdahulu akhbar ini menyiarkan laporan mengenai keluarga itu yang memohon bantuan baik pulih rumah mereka yang daif.
Seng Havy berkata, dia tidak mampu membaiki rumahnya yang mengalami kerosakan pada banyak bahagian untuk keselesaan isteri dan dua anaknya.
Menurutnya, rumah yang didudukinya kini semakin usang dengan lantai yang tidak sekata, dinding papan yang semakin reput malah keadaan rumahnya semakin sengit, ibarat hanya menunggu masa untuk menyembah bumi.
Pada 2019, Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming membantu baik pulih bumbung rumahnya yang rosak.
Seng Havy mempunyai seorang anak lelaki serta seorang anak perempuan, masing-masing berusia 21 dan 22 tahun dan masih belajar.
Katanya, dengan keadaan rumah yang daif, sukar untuk anaknya itu fokus ketika belajar di rumah. – UTUSAN