Lelaki larikan gelang emas selepas pura-pura mahu beli untuk isteri

Lelaki larikan gelang emas selepas pura-pura mahu beli untuk isteri

TANGKAP layar video menunjukkan lelaki yang berpura-pura sebagai pelanggan sebelum melarikan gelang emas di Gombak, Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki melarikan seutas gelang emas dari sebuah premis kedai emas selepas berpura-pura mahu membeli barang kemas buat isterinya dalam kejadian di Prima Sri Gombak, Gombak, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 petang itu, suspek datang ke premis berkenaan dan berlagak sebagai pelanggan sebelum mengambil kesempatan melarikan gelang emas yang ditunjukkan jurujual.

Katanya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pada pukul 8.49 malam daripada seorang jurujual wanita berusia 27 tahun.

“Pengadu memaklumkan semasa sedang bekerja di kedai emas tersebut, seorang lelaki tempatan datang dan memaklumkan ingin membeli rantai emas untuk isterinya.

“Suspek kemudian memilih seutas gelang emas dan ketika pengadu berpaling untuk mengambil mesin kira, lelaki itu terus melarikan diri bersama barang kemas berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal.

“Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular rakaman video memaparkan seorang lelaki melarikan barangan kemas dalam kejadian di sebuah kedai emas.

Rakaman yang dipercayai daripada kamera litar tertutup (CCTV) itu memaparkan individu terbabit yang mulanya melihat barangan kemas itu.

Individu itu kemudiannya dilihat terus melarikan diri bersama barangan kemas itu menggunakan sebuah motosikal.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN