KUALA LUMPUR: Pergerakan Pengakap terus memainkan peranan penting dalam memupuk kepimpinan, disiplin dan sahsiah diri golongan muda melalui pendekatan akar umbi yang lebih inklusif.
Langkah itu antaranya dilaksanakan menerusi kaedah kepengakapan berasaskan komuniti (community based scouting).
Pendekatan itu disifatkan sebagai satu model efektif dalam menyebarluaskan pergerakan Pengakap terutama bagi golongan belia yang tidak berpeluang menyertai unit beruniform Pengakap di sekolah.
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd Zin Bidin ketika menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPM WPKL) di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie, Jalan Duta, malam ini.
“Saya bersama Ahli Majlis Pengakap Negara merangkap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memang sedang merancang untuk memperluaskan kepengakapan berasaskan komuniti di seluruh negara terutama menyasarkan ladang-ladang Felda dan rumah pangsa.
”Jadi, kita perlukan pemimpin yang berwibawa untuk melatih budak-budak. Saya berharap kita bersama-sama melaksanakan tugas menubuhkan kepengakapan berasaskan komuniti,” katanya.
Majlis penuh istiadat itu turut menyaksikan 43 penerima Sijil Pengakap Raja, enam penerima Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia, 79 penerima Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia dan 100 penerima Sijil Wangsa Wilayah, selain pelancaran Pingat Peringatan 40 Tahun Majlis Pengakap WPKL.
Turut hadir, Timbalan Yang Di-Pertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti; Naib Presiden, Datuk Zamani Tambichek; Pemangku Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Dr. Mohammed Mukhyuddin Sarwani dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri WPKL, Zamri Saiman.
Menurut Mohd Zain, terdapat banyak kes anak-anak sekolah tidak dapat menyertai Pengakap kerana kuota penyertaan di sekolah yang terhad, namun dengan adanya kumpulan pengakap berasaskan komuniti, kekangan ini dapat diatasi.
Menerusi kumpulan Pengakap di rumah-rumah pangsa, golongan muda di sana boleh berpeluang melakukan aktiviti kepengakapan pada waktu petang, seterusnya mengasah kemahiran mereka dalam meraih anugerah Pengakap Raja.
Bermula dengan 10 orang ahli dan diketuai seorang pemimpin sehingga membolehkan mereka diasah kemahiran untuk mendapatkan anugerah Pengakap Raja,” jelas beliau.
Malah, beliau memaklumkan terdapat beberapa penerima Sijil Pengakap Raja terdiri daripada ahli kumpulan pengakap dalam komuniti, sekali gus menjadi bukti kejayaan kaedah berkenaan.
Tambah beliau, usaha memperluaskan kepengakapan dalam komuniti sedang dirancang ke seluruh negara dalam usaha memastikan tiada belia yang tercicir daripada mendapat peluang menyertai gerakan kepengakapan.
Beliau menyeru PPM WPKL agar menjadi contoh cemerlang dalam pelaksanaan kepengakapan dalam komuniti serta menyasarkan peningkatan keahlian.
“Kuala Lumpur sebagai ibu negara perlu menjadi contoh terbaik di rantau ini. Kita ada semua kemudahan, kepelbagaian, dan semangat yang cukup untuk menjayakannya,” tambah beliau.
Untuk makluman, kebanyakan kumpulan Pengakap di negara ini adalah berasaskan sekolah.
Beliau turut menekankan bahawa pelaburan dalam gerakan Pengakap adalah pelaburan jangka panjang negara kerana organisasi ini terbukti melahirkan pemimpin berkaliber di peringkat global.
Ini termasuk 11 daripada 12 angkasawan yang menjejakkan kaki ke bulan, antaranya Neil Armstrong yang merupakan seorang ‘eagle scout’. – UTUSAN










