PETALING JAYA: Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) berharap isu ramai pekerja filem menganggur disebabkan kelewatan pihak RTM mengumumkan senarai penerima pembekalan perolehan program televisyen dipandang serius.
Presiden Profima, Khalil Salleh berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan keresahan dalam kalangan pekerja filem khususnya yang aktif dengan kerja-kerja melibatkan penerbitan program televisyen.
Katanya, kebanyakan mereka tidak dapat bertahan sehingga terpaksa melakukan pelbagai kerja sampingan dan ada yang sudah berpindah serta terpaksa menetap di kampung halaman buat sementara waktu.
“RTM adalah penyumbang besar kepada ekonomi pekerja di bawah Profima yang sehingga kini semua penerbit masih ternanti-nanti keputusan tender kandungan yang telah melalui sesi saringan pitching proposal pada sekitar Jun hingga Julai lepas.
”Namun sehingga kini masih tiada berita akan dianugerahkan tender-tender ini kepada penerbit.
”Profima melihat peluang kerjaya melalui sumber Utama ini (Program TV RTM) tidak berjalan seperti tahun-tahun sebelumnya. Malah bagi tahun 2023 belum ada satu penganugerahan tender rancangan tv dibuat oleh stesen kerajaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khalil berkata, kelancaran pihak RTM memberikan projek perolehan melalui RTM kepada penerbit adalah sumber penting yang menyumbang sebahagian besar kepada peluang kerjaya kru filem khususnya pekerja belakang tabir.
“Profima turut menyokong kenyataan yang dibuat oleh wakil Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jurey Latiff, tentang keresahan dalam perkara sama.
”Penerbit yang akan terkesan lebih awal kerana melibatkan kesemua pekerja yang menunggu peluang kerja melalui penerbit,” katanya.
”Sekarang sudah bulan Ogos, stesen TV Kerajaan yang menjadi tempat bergantung belum mengeluarkan tawaran perolehan rancangan tv baharu. Ini sangat memberi kesan. Profima juga mendapat aduan dan rungutan daripada ramai kru filem yang sudah lama tiada peluang kerja,” kongsinya.
Terdahulu, RTM memaklumkan sedang melakukan penambahbaikan berhubung prosedur operasi standard (SOP) pembekalan kandungan program televsiyen merangkumi dokumentari, majalah, rancangan bual bicara, program realiti serta animasi.
Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman berkata, pihaknya menerima hampir 3,000 kertas cadangan (proposal) dan tajuk yang perlu disaring mengikut peruntukan yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan (MOF).










