KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pendidikan tahfiz antara tunjang utama dalam membina generasi al-Quran yang berkualiti di Perlis pada masa hadapan.
Baginda bertitah, pendidikan tahfiz bukan sahaja melahirkan para huffaz yang mampu menghafaz al-Quran dengan baik malah berperanan dalam membentuk peribadi seseorang Muslim.
“Selain itu, ia membentuk Muslim berakhlak mulia, berdisiplin serta memiliki jati diri yang kukuh,” titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Penutup Festival Sukan dan Seni Islam Tahfiz (FIESTA) 2026 Peringkat Antarabangsa di Dewan Warisan di sini.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam pada itu, baginda menzahirkan bahawa penganjuran FIESTA 2026 memberi ruang dan peluang kepada para pelajar untuk mencungkil bakat serta mengasah kemahiran dalam pelbagai bidang berkaitan dunia tahfiz al-Quran.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Izizam Ibrahim dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin.
FIESTA 2026 anjuran JAIPs dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertujuan menyemarakkan budaya tahfiz, sukan dan seni Islam di peringkat antarabangsa.
Festival tersebut melibatkan lebih 120 peserta terdiri daripada institusi maahad tahfiz di Perlis serta penyertaan antarabangsa dari Thailand iaitu buat julung-julung kalinya..
Antara acara dipertandingkan termasuk hafazan al-Quran, hadis, khutbah, serta memanah tradisional.
Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah bagi kategori hafazan al-Quran lelaki dan memanah tradisional lelaki selain melancarkan pelaksanaan Sijil Tahfiz Negeri Perlis (STPs).
Pengurniaan hadiah bagi kategori hafazan al-Quran perempuan dan memanah tradisional perempuan pula telah disempurnakan oleh Tuanku Lailatul Shahreen.
Titah baginda, program seumpama itu turut menyemai nilai kerjasama, disiplin, kepimpinan serta daya saing yang sihat dalam kalangan peserta.
Penganjuran kali ini lebih istimewa dengan penglibatan pelajar-pelajar di bawah Majlis-Majlis Agama Islam dari Wilayah Andaman dan Wilayah Phatthalung juga di Thailand, sekali gus memperkukuh elemen antarabangsa dalam festival berkenaan.-UTUSAN










