Tuanku Syed Faizuddin ketuai senarai 24 penerima darjah kebesaran Perlis - Utusan Malaysia

Tuanku Syed Faizuddin ketuai senarai 24 penerima darjah kebesaran Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai senarai penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ke-83 bagi sesi pertama di Istana Arau, Perlis semalam.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai senarai 24 penerima darjah kebesaran sempena Ulang Tahun Keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ke-83 di Istana Arau, di sini semalam.

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Setia Syed Sirajuddin (SSSJ) yang membawa gelaran Datuk Seri Diraja kepada Raja Muda Perlis.

Baginda turut berkenan mengurniakan SSSJ kepada Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Tengku Puteri Mahkota Perlis, Datuk Seri Datin Paduka Hajah Sharifah Fazira Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dianugerah Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP), membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima penganugerahan sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Pengerusi bersama MIGHT, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali.

Darjah Dato’ Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSSJ) yang membawa gelaran Datuk Paduka pula dikurniakan kepada kerabat diraja, Yang Mulia Tengku Ariez Hazaril Tengku Datuk Paduka Abdul Halim dan Ketua Pengarah Eksekutif PPK Teknologi Sdn Bhd, Ts. Dr. Aminuddin Datuk Paduka Ahmad Kayani.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi Percukaian) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Shaharrudy Othman pula dianugerahkan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perlis (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Seramai lima individu dianugerahi Darjah Dato’ Setia Paduka Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (DSPJ) yang membawa gelaran Datuk terdiri daripada Panglima Markas 5 Divisyen, Mejar Jeneral Shamshor Jaafar; Ketua Pengarah Operasi dan Latihan (OPLAT), Mejar Jeneral Hashim Osman; Dr. Jasmeet Singh Saren Manjit Singh daripada Kementerian Kesihatan Malaysia); Kapten Wan Muzairul Wan Mahazir, (Firefly Airlines) dan Presiden Institut Akauntan Malaysia (MIA), Saniza Said.

Dalam pada itu, empat individu turut dianugerahi Darjah Dato’ Panglima Sirajuddin Jamalullail (DPSJ) manakala tiga lagi dianugerah Darjah Setia Mahkota Perlis (SMP).

Turut berangkat pada majlis penganugerahan tersebut, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN