‘RM100 jadi kenangan terakhir’ - Utusan Malaysia

‘RM100 jadi kenangan terakhir’

AZIZAH Ishak (kanan) menunjukkan gambar lokasi suaminya maut dipijak gajah di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang. – UTUSAN/AUMI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Seorang pekerja kantin tidak menyangka RM100 yang diberikan suami untuk belanja menjadi kena­ngan terakhir sebelum lelaki itu maut dipijak gajah di Lojing, kelmarin.

Azizah Ishak, 53, berkata, suaminya, Allahyarham Mohd. Marzuki Mohd. Nawi, 42, tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum keluar pergi memancing bersama rakannya, Mohamad Reezal Norzlan, 32.

Jelasnya, sehari sebelum kejadian, arwah sempat bergurau menghulurkan duit RM100 untuk belanja dan kenangan.

“Selepas pulang kerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah ladang durian, dia beri­tahu nak pergi memancing.

“Tiada perubahan ketara pada sikap arwah suami. Sehari sebelum kejadian, arwah sempat bergurau menghulurkan wang RM100 yang berlipat,” katanya ketika ditemui di rumah­nya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh di sini semalam.

Katanya, selepas kira-kira setengah jam keluar rumah, dia mendapat berita suaminya maut dipijak gajah.

“Mohamad Reezal pulang ke rumah dalam keadaan tergesa-gesa untuk mengambil trak pikap dan memaklumkan suami saya dipijak gajah.

“Kami pergi bersama-sama untuk membawa arwah ke Klinik Kesihatan Pos Brooke. Ketika perjalanan ke klinik, arwah mengadu sangat sakit dan akan mati. Saya hanya mampu menenangkan arwah dan mengajarnya mengucap,” jelasnya.

Katanya, dia reda selepas doktor mengesahkan suaminya meninggal dunia akibat kecede­raan dalaman.

Sementara itu Mohamad Reezal berkata, dia tidak akan melupakan kejadian tersebut kerana ini bukan kali pertama dia dan arwah pergi memancing di kawasan ladang sawit itu.

“Kami berdua yang menunggang motosikal terkejut apabila tiba-tiba dua ekor gajah muncul. Kami cuba patah balik, tetapi motosikal terbalik dan kami terjatuh.

“Saya sempat larikan diri, namun arwah tidak sempat. Saya dengar dengan jelas bunyi gajah terbabit. Ini bukan kali pertama kami melihat haiwan liar berkeliaran di dalam kawasan ladang namun tidak sangka kejadian ini akan berlaku sehingga rakan sendiri hilang nyawa,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, kegembiraan seorang pe­ngawal keselamatan memancing ikan di sebuah sungai bersama rakannya bertukar tragedi apabila maut dipijak seekor gajah liar di sebuah ladang kelapa sawit di Tanah Tinggi Lojing di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mang­sa meninggal dunia semasa dirawat di Klinik Kesihatan Pos Broke.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa bersama seorang rakannya masing-masing me­nunggang motosikal untuk ke sebatang sungai di kawasan ladang MJB Forestry Lojing Gua Musang untuk memancing ikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN