GUA MUSANG: Seorang remaja lelaki parah apabila perutnya tertusuk sebatang buluh selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah trak pikap di Kilometer 29, Jalan Gua Musang-Jeli berdekatan Jambatan Pulau Setelu di sini, malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, mangsa, Mohammad Ammar Hazriq Zuhan, 13, cedera apabila buluh berukuran dua meter tertusuk sehingga menembusi bahagian perutnya.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 dari rumahnya di Kampung Pulau Setelu untuk memancing di sebuah sungai.
Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, mangsa merempuh belakang sebuah trak pikap jenis Nissan Frontier yang membawa muatan buluh yang diletak di tepi jalan di atas Jambatan Pulau Setelu.
“Remaja itu dibawa oleh orang awam ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai,” katanya ketika dihubungi semalam.
Choon Foo memberitahu, pengguna jalan raya perlu lebih berhati-hati semasa menjalankan kerja-kerja di laluan jalan raya dengan memberi isyarat secukupnya kepada pengguna yang lain.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN










