LUMUT: Seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) rentung apabila rumahnya terbakar dalam kejadian di Kampung Dato Seri Kamaruddin, Seri Manjung semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.05 petang itu, Mohd. Firdaus Ahmad, 15, maut dengan keseluruhan tubuhnya terbakar.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa yang mengalami masalah pertuturan dan tidak boleh berjalan dengan baik, tinggal berseorangan di rumah yang terletak berhampiran Sekolah Kebangsaan Kampong Dato Seri Kamaruddin itu.
Sementara ahli keluarganya yang lain iaitu ibunya, kakak mangsa dan anak kakaknya yang masih bayi, pergi ke rumah jiran mereka.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Penolong Kanan Penguasa Bomba Suhaimy Mohd. Suhail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.11 petang dan tiba di lokasi kejadian tiga minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah papan setingkat yang terbakar 90 peratus,” katanya.
Menurutnya, sebaik sahaja kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 5.52 petang, pihaknya menemui mangsa dalam keadaan terlantar di atas katil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, setakat ini polis mengklafikasikan kes itu sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah.
Menurutnya, mangsa warga Indonesia adalah OKU yang mempunyai rekod rawatan sawan di Hospital Seri Manjung (HSM).
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu agar menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-6886222 atau balai polis berdekatan untuk membantu siasatan. – UTUSAN










