Rashid, Sahruddin, Najwah antara calon PN di Pulai? - Utusan Malaysia

Rashid, Sahruddin, Najwah antara calon PN di Pulai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARTI Amanah Negara (Ama­nah) sudah mengumumkan dua calonnya untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, baru-baru ini.

Walaupun masa ‘berkempen’ belum dimulakan secara rasmi kerana hari penamaan calon pada 26 Ogos ini, namun dua calon Amanah tersebut, Suhaizan Kaiat dan Nazri Abdul Rahman sudah mula mengatur gerak kerja dan strategi masing-masing.

Kini tumpuan terarah kepada Perikatan Nasional (PN) yang dijangka mengumumkan dua ‘ayam sabung’ mereka untuk merampas kerusi tersebut daripada Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH).

Jika Zarul Salleh disebut-sebut dicalonkan semula oleh Pas di kerusi DUN Simpang Jeram, bagi kerusi Parlimen Pulai, PN dijangka memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menampilkan calonnya mendepani PH.

Persoalannya, siapa yang bakal diangkat Bersatu bagi mewakili PN merampas kerusi tersebut kerana pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kerusi Parlimen Pulai diberikan kepada Gerakan.

Menyedari cabaran dan senario berbeza pada PRK, PN mungkin menampilkan calon daripada Bersatu kerana mampu menarik sokongan terhadap PN, khususnya pengundi Melayu.

Bagi membawa misi besar tersebut, beberapa nama disebut-sebut akan dicalonkan.

Antaranya bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon yang sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat.

Walaupun gagal mempertahan kerusi Batu Pahat pada PRU15, beliau mempu­nyai pe­ngalaman luas dalam politik.

Selain Mohd. Rashid, nama bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal mungkin disenaraikan bagi menentang Suhaizan di Parlimen Pulai.

Selain pernah menerajui Johor semasa era pentadbiran PH, Sahruddin merupakan Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Bukit Kepong.

Nama lain ialah bekas Timbalan Pengerusi Tekun Nasional, Najwah Halimah Ab. Alim.

Pada PRU15 beliau berharap bertanding di Parlimen Pulai, namun dicalonkan di Parlimen Tanjung Piai dan tewas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kematian penyandangnya, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Pada PRU15, kerusi Parlimen Pulai dimenangi Allahyarham Salahuddin dengan majoriti 33,174 undi menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional (BN) dan Loh Kah Yong (PN). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN