PETALING JAYA: Program Rakan Muda untuk golongan remaja yang diperkenalkan pada 1994 kini dikembalikan selain diberikan nafas baharu oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Matlamat program ini adalah melahirkan potensi tertinggi generasi muda supaya berupaya mendukung matlamat pembangunan negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, walaupun ia masih di peringkat permulaan, sambutan yang diterima daripada belia di seluruh negara amat menggalakkan.
“Program-program yang sedang dan akan diadakan ini dilakukan hampir semua daerah supaya ia lebih dekat kepada masyarakat.
“Sebelum ini kebanyakan program yang berskala besar kebiasaannya diadakan di ibu kota jadi berkemungkinan terdapat belia yang tidak dapat hadir.
“Apabila program ini diadakan di kawasan kejiranan mereka, kita melihat sokongan dan sambutan yang bagus, belia bukannya tidak berminat sebelum ini,” katanya.
Terdahulu, inisiatif Rakan Muda yang diberikan nafas baharu memperkenalkan 10 gaya hidup, selaras dengan cita rasa dan minat generasi muda hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, inisiatif berkenaan adalah Rakan Aktif, Rakan Demokrasi, Rakan Bumi, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Litar, Rakan Mahir, Rakan Muzik, Rakan Niaga dan Rakan Prihatin.
Mengulas lanjut, Adam Adli berkata, Program Rakan Muda kini lebih memahami minat belia zaman sekarang disebabkan itu kita mempunyai Rakan Litar dan Rakan Muzik.
“Pada masa yang sama, ramai anak muda turut meminati bidang keusahawanan di mana kita mempunyai Rakan Niaga, ini adalah ruang untuk mereka menimba pengalaman.
“Platform ini bukan sahaja mampu memperkasa minat, tetapi menggalakkan mereka untuk membuka perniagaan sendiri pada masa akan datang.
“Diharapkan lebih ramai anak muda akan turut serta mengikut minat masing-masing dalam Program Rakan Muda yang akan diadakan di semua negeri,” ujarnya.
Program Rakan Muda dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri keempat, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 29 Oktober 1994.
Menteri Belia dan Sukan pada ketika itu, Tan Sri Datuk Ghani Othman memperkenalkan program ini yang mendatangkan faedah kepada golongan remaja sehingga mendapat gelaran sebagai ‘Bapa Rakan Muda’.
Misi teras program ini adalah untuk melahirkan potensi tertinggi generasi muda supaya berupaya mendukung matlamat pembangunan negara.
Program yang dikhususkan buat golongan belia ini dizahirkan melalui sembilan gaya hidup dengan elemen pembangunan minda, kemahiran, rohani, kemasyarakatan dan kecergasan fizikal.
Cabaran program ini ialah membentuk generasi muda yang lengkap dengan nilai murni, berfikiran positif, menguasai ilmu dan kemahiran bagi menempuh kemajuan yang akan datang.-UTUSAN










