Pulangkan tanah rizab Melayu dipegang bukan Melayu ikut undang-undang

Pulangkan tanah rizab Melayu dipegang bukan Melayu ikut undang-undang

HISHAMUDDIN HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) berharap tanah rizab Melayu yang ‘dipegang’ oleh bukan Melayu dipulangkan semula mengikut proses undang-undang.

Sebelum ini, MHO menyarankan supaya tanah rizab Melayu dikembalikan semula kepada pihak yang benar dengan mengguna pakai Seksyen 380 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 iaitu berkaitan pembetulan kesilapan dalam dokumen hak milik, dan Seksyen 417 KTN 1965 menggunakan autoriti mahkamah.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, beliau dimaklumkan bahawa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Perak sedang mengambil tindakan terhadap perkara dibangkitkan MHO berhubung masalah itu sebelum ini.

“Terima kasih kepada Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain kerana telah mendapatkan ulasan daripada Pejabat Tanah dan Galian Perak berhubung isu pengurusan tanah rizab Melayu Perak.

“MHO juga dimaklumkan pihak PTG Perak sedang mengambil tindakan terhadap perkara yang dibangkitkan oleh MHO berhubung masalah tanah rizab Melayu yang dipegang oleh bukan Melayu.

“Apa yang diharap MHO supaya tanah rizab Melayu yang dipegang oleh bukan Melayu dipulangkan semula mengikut proses undang-undang,” katanya menerusi pautan video di aplikasi TikTok hari ini.

Beliau berkata demikian sambil menyertakan salinan surat daripada Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan itu mengenai surat MHO yang dihantar bertarikh 15 Mei 2023.

Ia berhubung permohonan ulasan berkenaan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Perak tentang aktiviti jabatan dan pengurusan syarikat kerajaan negeri berkenaan pengurusan tanah rizab Melayu.

Surat itu menyatakan, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Galian Persekutuan (JKPTG) telah mendapatkan ulasan daripada PTG Perak berkenaan isu pengurusan tanah rizab Melayu di negeri itu dan sedang mengambil tindakan terhadap perkara berbangkit.

Kata surat itu, pihak MHO boleh menghubungi PTG Perak bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tindakan yang telah dan sedang diambil terhadap isu pengurusan tanah rizab Melayu di Perak, seperti yang dibangkitkan dalam LKAN Perak Tahun 2019 Siri 2: Pengurusan Tanah Rizab Melayu, kerana ia berada di bawah pengurusan kerajaan negeri.

Pada April lalu, Hishammudin menyerahkan memorandum kepada Jabatan Audit Negara menggesa Ketua Audit Negara memberi syor dan saranan kepada PTG Perak untuk mengembalikan tanah rizab Melayu yang dipindah milik secara salah kepada bukan Melayu.

Bagaimanapun, memorandum itu gagal diserah kepada Jabatan Audit Negara selepas seorang pegawai jabatan itu memaklumkan ia perlu diserah kepada PTG Perak dan bukan di bawah bidang kuasa jabatan itu.

MHO menyarankan supaya supaya Jabatan Audit Negara mengeluarkan laporan lebih konkrit dan pembetulan kesilapan dalam dokumen hak milik tanah rizah Melayu pada masa hadapan.

Katanya, merujuk kepada LKAN 2019 Perak Siri 2, yang dikeluarkan Ketua Audit Negara, menggambarkan wujud kelemahan pengendalian rekod atau daftar menyebabkan statistik tanah rizab Melayu tidak memberi gambaran sebenar keluasan tanah di negeri itu.

Katanya, pewartaan tanah rizab Melayu mengambil masa lama untuk disempurnakan dan pengisytiharaannya juga tidak menepati syarat serta proses pemberian milikan yang didapati tidak diadakan secara teratur.

Menurutnya, ‘pencerobohan’ tanah rizab Melayu disebabkan kelemahan tindakan penguatkuasaan sehingga menimbulkan kerugian kepada kerajaan negeri dan jumlahnya semakin berkurang.

Katanya, selain tanah rizab bertukar hak status apabila dipindah milik kepada bukan Melayu, terdapat sebilangannya masih berstatus rizab Melayu, tetapi dimiliki bangsa lain yang mana proses pindah milik diragui serta tidak mengikut undang-undang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya