PETALING JAYA: Keluarga kepada salah seorang kru pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), Heikal Aras Abdul Azim yang maut dalam nahas petang semalam sudah berada di Hospital unit forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), bagi melakukan proses pengecaman mayat.
Abang sulungnya, Komander Husnien Aras Abdul Azim ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, dia dan ahli keluarganya yang lain dihubungi oleh pihak hospital bagi melakukan pengecaman mayat anak kedua daripada lima beradik itu.
“Kami semua sudah berada di sini (hospital) bagi proses pengecaman,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, Allahyarham yang berpisah dengan isterinya mempunyai tiga orang anak berusia diantara sembilan sehingga 13 tahun.
“Anak-anak memang tinggal dengan Heikal Aras, buat sementara ini, kami adik beradik sepakat akan jaga mereka,” jelasnya.
Dalam nahas pukul 2.40 petang semalam itu, 10 individu disahkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya adalah juruterbang dan penumpang pesawat ringan tersebut.
Dua lagi mangsa adalah seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang ketika nahas melalui lokasi kejadian.
Antara penumpang pesawat yang maut adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Ketika kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Pesawat itu dikesan melencong ke kanan dari laluan penerbangan dengan siasatan awal mendapati pesawat berkenaan sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan Lapangan Terbang Subang.-UTUSAMN










