PRN: Peluang rakyat Pulau Pinang tolak DAP, PH dan BN - Tuan Ibrahim - Utusan Malaysia

PRN: Peluang rakyat Pulau Pinang tolak DAP, PH dan BN – Tuan Ibrahim

SEBAHAGIAN penyokong PN yang menghadiri ceramah kelompok oleh Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dominic Lau di Kampung Masjid, Teluk Kumbar, Pulau Pinang malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini merupakan peluang terbaik untuk rakyat Pulau Pinang menghantar isyarat penolakan terhadap kepimpinan DAP, Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) di negeri itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rakan-rakan yang menyokong UMNO juga tidak boleh memberi kemenangan kepada calon UMNO yang bertanding pada PRN di Pulau Pinang memandangkan ia hanya akan menguatkan DAP di negeri itu.

”PRN ini adalah peluang terbaik untuk rakyat menghantar isyarat kepada kerajaan negeri bahawa kita tolak DAP dan tolak PH di Pulau Pinang.

”Kepada rakan UMNO, tolong jangan menangkan UMNO kerana ia hanya akan kuatkan DAP di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok Perikatan Nasional (PN) di Kampung Masjid, di sini hari ini.

Yang turut hadir calon PN bagi kerusi DUN Bayan Lepas, Datuk Dr. Dominic Lau; Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Menurut Tuan Ibrahim, gelombang kebangkitan rakyat menolak PH pada PRN kali ini tidak dapat disekat oleh mana-mana pihak, malah lebih besar daripada gelombang yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

”Sebelum ini ketika PRU-15, gelombang kebangkitan rakyat tidak kelihatan sangat dan ia hanya boleh dilihat ketika minggu-minggu akhir sahaja, namun PRN ini gelombang kebangkitan rakyat lebih besar dapat dilihat.

”Gelombang kebangkitan rakyat ini kalau enam negeri berjaya ditawan PN, dia (pimpinan PH) tak sedap duduk dah kerana dia sedar rakyat telah menolak PH-BN.

”Yang penting pengundi pada minggu-minggu akhir ini jangan terpengaruh dengan mana-mana provokasi, kononnya undi PN masuk syurga, kita tidak pernah buat begitu,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, Pas juga menyatakan komitmen terhadap Dominic yang bertanding atas tiket PN di kerusi DUN Bayan Lepas dan Pas mendokongi keputusan tersebut.

”Gabungan PN bersama-sama mendokong cita-cita untuk menangkan calon (Dominic), di media sosial timbul seolah-olah ada penentangan tetapi Pas wala’ dengan pemimpin.

“Pas tidak meletakkan calon Bebas, kita mendokong bersama keputusan PN dan kita bergerak sebagai satu pasukan bersama-sama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya