PRN: Nurul Izzah optimis tahap kesedaran pengundi di Permatang Pauh kini lebih tinggi - Utusan Malaysia

PRN: Nurul Izzah optimis tahap kesedaran pengundi di Permatang Pauh kini lebih tinggi

NURUL IZZAH Anwar (dua dari kanan) ketika Majlis Perasmian Komuniti Mural Art Bandar Perda di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

PERMATANG PAUH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar optimis tahap kesedaran pengundi di Permatang Pauh ketika ini jauh lebih tinggi berbanding ketika Pakatan Harapan (PH) tewas di kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bagaimanapun, Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau tetap berhati-hati bagi mengelakkan ‘pisang berbuah dua kali’ di kawasan sama.

Kata beliau, banyak faktor yang perlu diambil kira dalam menjustifikasikan perkara itu termasuk penerimaan pengundi di kawasan berkenaan terhadap gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) ketika ini.

“Justeru, saya berharap, mesej saya yang akhir ini, tolonglah. Walaupun anda menonton TikTok dan media sosial, tolong selami intipati tawaran oleh kerajaan perpaduan di peringkat negeri (Pulau Pinang).

“Pada masa sama, elakkan (terpedaya dengan) penipuan serta fitnah yang sensasi dalam lapangan kerana dalam tempoh 24 jam ini (sebelum hari pengundian), saya pasti banyak yang akan kita baca dan tonton (mengenai isu berkaitan politik),” katanya.

NURUL IZZAH Anwar (dua dari kanan) ketika Majlis Perasmian Komuniti Mural Art Bandar Perda di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Komuniti Mural Art Bandar Perda yang turut dihadiri oleh calon PH untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon.

Sementara itu, Nurul Izzah yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang berharap para pengundi di ketiga-tiga kerusi DUN di Permatang Pauh iaitu Seberang Jaya; Penanti dan Permatang Pasir akan keluar beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab mereka untuk membuang undi esok.

“Dalam hal ini, kita tidak mampu untuk menggerakkan pembangunan sosioekonomi khususnya di Permatang Pauh dan seluruh Seberang Perai ini tanpa sokongan dan undi daripada mereka yang layak.

“Maka, sekali lagi ingin saya katakan, pihak berkepentingan punya peranan masing-masing. Tapi, kami tetap dengan misi dan usaha kami. Selebihnya, terserah kepada setiap segmen pengundi.

“Peratusan keluar mengundi yang tinggi pastinya dapat mencerahkan peluang (PH-BN untuk menang) di sini (Pulau Pinang),” ujar beliau.

Pada PRU-15 lalu, Nurul Izzah terpaksa ‘melepaskan’ kerusi tradisi PKR iaitu Parlimen Permatang Pauh yang disandangnya ketika itu selepas tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) daripada Pas, Muhammad Fawwaz Mat Jan dengan majoriti 5,272 undi dalam pertandingan empat penjuru yang turut melibatkan calon BN serta Pejuang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya