PRN: Media sosial bukan penanda aras sokongan pengundi muda

PRN: Media sosial bukan penanda aras sokongan pengundi muda

NURUL Amal Mohd. Fauzi bersama pelakon, Johan As’ari membantu kempen calon BN DUN Bandar Baharu di Sungai Batu, Mahang di Bandar Baharu. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANDAR BAHARU: Penglibatan golongan muda dalam pelbagai platform media sosial tidak benar-benar menggambarkan keutamaan pengundi daripada kumpulan itu untuk parti mana yang akan mereka undi pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu ini.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi berkata, beliau percaya pengundi muda cukup bijak untuk membuat keputusan tepat mengenai gabungan mana yang lebih baik dan layak untuk menerajui enam negeri terlibat.

“Saya nampak dari segi media sosial ia tidak menuju ke mana-mana parti sebenarnya kerana ia seimbang. Tak ada kita nampak provokasi begitu kuat (daripada lawan), mungkin PRN kali ini (kempen mereka) tak semewah (pilihan raya lalu).

“Tetapi saya percaya orang muda di luar sana bukan media sosial itu yang menjadi penanda aras untuk mereka memilih pada PRN kali ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada kempen calon Barisan Nasional (BN) Bandar Baharu, Nuraini Yusoff di Sungai Batu, Mahang, malam tadi.

Mengulas lanjut, Nurul Amal berkata, beliau juga tidak melihat sentimen kebencian atau provokasi dimainkan oleh orang muda pada PRN di enam negeri ini.

“Saya anggap orang muda zaman ini cerdik pandai, saya sendiri mewakili orang muda pun tak suka mainkan isu sentimen, kebencian. Bila kami tinjau dalam kalangan orang muda pun berpendapat sama.

“Sebab itu untuk PRN ini kami putuskan di peringkat kepemimpinan Puteri UMNO untuk bawa slogan iaitu orang muda tolak kebencian dan kita pilih perpaduan.

“Sebenarnya provokasi yang pelbagai ini memang timbul sebab itulah lumrah dalam politik, tapi macam saya sering kata tadi orang muda ini pengundi senyap dan mereka bijak pandai yang akan membuat keputusan sewajarnya,” katanya.

Menyentuh kempen Nuraini di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baharu yang menjadi satu-satunya wakil Puteri UMNO bertanding di enam negeri, Nurul Amal berkata, beliau telah melihat gelombang sokongan positif daripada pengundi di kawasan itu.

“Bagaimanapun, jentera parti di Bandar Baharu perlu memberi tumpuan untuk mengajak pengundi keluar beramai-ramai mengundi pada Sabtu ini,” katanya.

Nuraini yang juga Ketua Puteri UMNO Kedah akan berdepan pertembungan satu lawan satu dengan bekas Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Muhammad Suffian Yusof yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Bandar Baharu menjadi antara hanya tiga kerusi dimenangi BN selepas penyandangnya, Datuk Noorsabrina Mohd. Noor meraih majoriti 377 undi menewaskan calon PKR, Datuk Azimi Daim dan calon Pas, Rohaizat Jaafar. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya