ALOR SETAR: Perikatan Nasional (PN) yakin Pilihan Raya Kecil (PRK) Johor akan menguburkan UMNO dengan kemenangan gabungan tersebut memandangkan negeri itu bukan lagi kubu kuat parti terbabit.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pengundi akan terus menolak UMNO dalam PRK itu disebabkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sekarang Johor bukan kubu kuat UMNO lagi dah. No more (Tidak lagi). Semua boleh berubah, LDP (Parti Liberal Demokratik Jepun) yang kuat di Jepun pun terbalik, parti komunis di Jerman Barat kuat pun terbalik, kuku besi lagi. Parti ini semua boleh terbalik.
“Sampai masa sudah, BN-PH akan terbalik dengan gelombang ini. Di sana (Johor) dilahirkan di sana juga kuburnya. Bukan lagi kubu kuat.
“Gelombang ini tidak boleh disekat, semua orang sudah tahu, mana-mana yang pakat (bekerjasama) dengan Anwar akan kalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Amal Hari Penyayang anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah di Stadium Darul Aman, di sini, semalam.
Mengulas kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed, kata Menteri Besar itu, populariti beliau lebih baik berbanding pemimpin tersebut dalam kalangan pengundi.
“Nur Jazlan pun tidak laku sudah, bertanding tidak boleh, lawan dalam UMNO kalah tanding tidak dapat, dialah yang tidak laku. Banding dia dengan saya, saya laku lagi,” katanya.
Beliau menegaskan, PN mempunyai harapan cerah untuk meraih kemenangan dalam dua PRK tersebut kelak dengan gelombang gabungan tersebut selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Luar dugaan…sambutan luar biasa, kalau Johor macam itu (sambutan) ada harapan besar (menang). PN tidak berangan di siang hari, kita mimpi malam-malam boleh menang. Gelombang ini akan melanda Johor termasuk di DUN yang kita bertanding,” katanya. – UTUSAN










