Bawa watak songsang, Populariti Bright terus melonjak - Utusan Malaysia

Bawa watak songsang, Populariti Bright terus melonjak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU berusia 25 tahun, Vachirawit Chivaaree atau nama pentasnya, Bright sudah bergelar pelakon paling popular di Thailand. Popularitinya meledak naik sehingga mempunyai 18.5 juta pengikut di Instagram.

Siapa sangka bermula sebagai hos rancangan pada usia 15 tahun selepas dipelawa menyertai ujibakat, akhirnya melorongkan rezeki buat Bright menjadi bintang seni di negara sendiri.  

PENDIDIKAN 

Jejaka yang memiliki ketinggian 1.83 meter ini pernah ditawarkan biasiswa bagi mengikuti pengajian kejuruteraan di Universiti Thammasat, namun dia menangguhkan seketika pengajian kerana mahu menumpukan karier terlebih dahulu. 

Bright kemudian menyambung pengajian bagi peringkat Ijazah Pemasaran di Bangkok University International College dan turut ditawarkan biasiswa sepenuhnya sekali lagi. 

KUAT BEKERJA 

Jejaka yang mempunyai darah kacukan Thailand, Amerika Syarikat dan China ini tidak pernah gagal menggalas sebarang watak serta mempamerkan karismanya sebagai seorang pelakon. 

Dia sebenarnya adalah seorang yang ‘gila’ bekerja sehingga graf lakonan dan tawaran drama datang mencurah-curah. 

Bagaimanapun, dengan kesibukan bergelar selebriti sekarang, dia sebenarnya merindui untuk menjalani kehidupan normal yang lebih santai dan tenang suatu hari nanti. 

Bright memberi tempoh masa untuk mengecapi kebahagiaan itu dalam 10 tahun akan datang ketika mencecah usia 35 tahun kelak. 

AKTOR DRAMA

Namanya mula melonjak naik ketika memegang watak Sarawat dalam drama bersiri 2gether, pada 2020. Itu merupakan kali pertama dia diberikan peranan sebagai watak utama sehingga drama tersebut tular di luar negara dan ditayangkan dalam platform penstriman Netflix. 

Bakat lakonannya mendapat perhatian pengarah Jepun, Shusuke Kaneko sehingga dia diberi peluang menerajui watak utama sebagai Thyme menerusi naskah F4 Thailand:Boys Over Flowers, pada 2021. 

Drama bersiri Thailand yang diadaptasi daripada manga Jepun, Hana Yori Dango itu berjaya memperkenalkan dirinya di pentas antarabangsa sehingga meraih anugerah Pelakon Terbaik Mekhala.

MINAT MUZIK 

Ibu dan bapa Bright bercerai sejak dia masih kecil lagi. Namun, dia dibesarkan oleh keluarga di sebelah ibunya yang mempunyai kecenderungan terhadap muzik serta memiliki sekolah muzik. 

Bright akhirnya terdedah dengan muzik dan mula bermain instrumen muzik sejak berusia 10 tahun.  

Selain berlakon, Bright yang lahir pada 27 Disember 1997 di Nakhon Pathom, Thailand mempunyai kebolehan bermain gitar, menyanyi dan menjadi model peragaan. 

Bright melakar kanvas seninya tahun ini dengan membuka syarikat rakaman sendiri yang bermatlamat untuk menjadi agensi pengurusan artis terkenal suatu masa nanti. 

IDAM KONSERT SOLO 

Single pertama berjudul Unmovable dilancarkan pada 2021, disusuli single pertama dalam bahasa Inggeris, Lost and Found. 

Bright turut melancarkan dua single baharu berjudul My Ecstasy dan Saturday Night pada Januari dan Februari lalu, sehingga meraih lebih 1.1 juta penstriman dalam YouTube dan Spotify. 

Menerusi temubual bersama majalah Vogue Hong Kong, baru-baru ini, Bright menyatakan hasrat untuk mengadaan konsert jelajah solo seperti jelajah dunia buat peminatnya dari seluruh negara. 

Jejaka yang manis dengan senyuman ini bercita-cita tinggi untuk menemui peminat dan mempersembahkan bakat seninya di seluruh dunia. 

Tidak perlu terbang jauh, kedatangan Bright ke Malaysia, tahun lalu juga mencetuskan fenomena dalam kalangan peminat tempatan.   

DUTA JENAMA MEWAH  

Ogos tahun lalu, Burberry secara rasmi mengumumkan Bright antara duta global bagi jenama itu, sekali gus menobatkan dirinya sebagai selebriti pertama dari rantau Asia Selatan menyertai jenama itu. 

Namanya turut menjadi pilihan jenama terkenal seperti Adidas, Gucci, Prada, Bulgari, Louis Vuitton, Tiffany & Co., Dior, Bottega Veneta, Versace dan Calvin Klein. 

Bright selalu dilihat menghadiri minggu fesyen dan acara fesyen eksklusif di sekitar rantau Asia dan benua Eropah. 

Berbekal rupa menawan, stail fesyen serta bakat lakonan, bintang muda kelahiran Thailand ini akan terus bersinar terang dalam industri seni dan fesyen antarabangsa. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya