SHAH ALAM: Pengguna jalan raya yang merakam detik sebelum nahas pesawat terhempas yang mengorbankan 10 mangsa di Elmina, Seksyen U16 di sini, semalam diminta tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mana-mana individu yang merakam insiden itu menerusi kamera papan pemuka (dash cam) diminta tampil secepat mungkin.
“Kita akan cari mereka untuk membantu siasatan, kalau boleh mereka tampil memberi maklumat yang diperlukan adalah sangat dihargai,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Dalam nahas ngeri jam 2.40 petang semalam itu, 10 individu disahkan meninggal dunia dengan lapan daripadanya adalah juruterbang dan penumpang pesawat ringan tersebut.
Dua lagi mangsa adalah seorang pemandu dan penunggang e-hailing yang ketika nahas melalui lokasi kejadian.
Antara penumpang pesawat yang maut adalah Exco Pahang dengan portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Ketika kejadian, pesawat dengan nombor pendaftaran N28JV itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.
Pesawat itu dikesan melencong ke kanan dari laluan penerbangan dengan siasatan awal mendapati pesawat berkenaan sudah mendapat kebenaran untuk mendarat oleh menara kawalan Lapangan Terbang Subang.-UTUSAN










