Polis kaji elaun anggota di bandar besar – KPN

Polis kaji elaun anggota di bandar besar – KPN

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengkaji semula elaun pegawai dan anggotanya yang bertugas di bandar besar.

Menegaskan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, langkah itu diambil memandangkan gaji mereka ketika ini dilihat tidak setimpal dengan kos sara hidup yang meningkat.

Katanya, kajian itu dilakukan bagi menentukan kadar yang sesuai untuk dinaikkan terutamanya mereka yang bertugas dalam bidang khusus atau subject matter expert (SME).

“Kita ambil contoh, mereka (polis) yang bertugas sebagai pengawal istana terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Johor dan Se­langor. Mereka ini hanya mengharapkan elaun Sara Hidup (COLA) dan tiada elaun lain.

“Bila ada majlis rasmi, mereka sudah pasti perlu beli pakaian lengkap dan sebagainya….tambah pula mereka ini tinggal di kawasan yang memerlukan kos tinggi dengan kemampuan gaji mereka RM3,000 sahaja seolah-olah mereka ini miskin bandar,” katanya ketika ditemui di sini.

Mengulas lanjut, kata Ra­zarudin, elaun-elaun yang di­peruntukkan perlu dinaikkan 30 peratus daripada elaun sedia ada yang diterima.

“Perkara ini dalam peringkat kajian dan kita akan berbincang dan bawa perkara ini untuk perhatian kerajaan” jelasnya.

Dalam perkembangan berasingan, Razarudin berkata, agihan peruntukan melebihi RM500 juta yang diberikan kerajaan kepada PDRM me­rangkumi Peruntukan Per­belanjaan Mengurus (OE) dan Peruntukan Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Jelas beliau, dari jumlah tersebut, sebanyak RM98.715 juta disalurkan bagi melaksanakan kerja-kerja penambaikan dan menaiktaraf 61,214 kuarters PDRM dan kerja-kerja pembaikan sedang berjalan ketika ini.

“Kerja penambaikan dan menaiktaraf ini akan melibatkan perkakas elektrik yang lama, atap-atap yang bocor termasuk perolehan bangunan baharu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESS­Com).

“Beberapa proses pemilihan tender sedang dilaksanakan agar kerja-kerja penaiktarafan itu dapat dilakukan.

“Kalau boleh, saya mahu kerja penambaikan dan me­naik­taraf itu tahun ini juga selesai bagi memastikan kebajikan pegawai dan anggota di­utamakan,” ujarnya.

Selain itu, Razarudin berkata, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM113 juta bagi kerja pembaikan dan penggantian lif

“Peruntukan tersebut juga telah pun disalurkan kepada Jabatan Kerja Raya untuk dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×