Polis Johor ingatkan calon jangan langgar waktu berkempen

Polis Johor ingatkan calon jangan langgar waktu berkempen

KAMARUL Zaman Mamat mengadakan pertemuan dengan pemberita bagi memaklumkan perkembangan terkini PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram di Taman Perumahan Polis, Muar, Johor. - UTUSAN/OMAR ZIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Semua calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram diminta mematuhi waktu berkempen ditetapkan.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, setiap permit diluluskan mempunyai tempoh tertentu supaya calon tidak bertembung antara satu sama lain bagi mengelak perkara tidak diingini.

“Ada satu kejadian apabila polis telah menetapkan masa berkempen untuk permit, tapi dia melanggar masa dan pasukan petugas memberi amaran supaya mereka patuh masa diberikan dan mereka memberi kerjasama.

“Contohnya, permit calon antara pukul 3 hingga 5 petang, permit pukul 5 hingga 7 petang untuk orang lain pula, jadi jangan pergi pada masa yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tambah Kamarul Zaman, jika calon bertembung di tempat dan waktu sama, kempen pilihan raya tidak akan berjalan lancar.

“Jadi, beri ruang. Habis kempen, berilah kepada orang lain supaya keadaan berada dalam harmoni bagi memastikan perjalanan kempen berjalan lancar. Kalau bertembung memang takkan lancar, kita boleh beri masa sesuai,” katanya.

Beliau mengulas tindakan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya menegur jentera Pakatan Harapan (PH) kerana melanggar waktu berkempen untuk PRK Parlimen Pulai di Tapak Pasar Malam Taman Sutera, semalam.

Petugas yang memantau kempen terbabit meminta jentera PH menutup kaunter bergerak kerana hanya dibenarkan berkempen di situ bermula pukul 7.30 malam, sedangkan ketika itu adalah waktu jentera Perikatan Nasional (PN).

Ujar Kamarul Zaman, polis telah menerima permohonan sebanyak 13 permit ceramah bagi DUN Simpang Jeram, dengan 11 permohonan diluluskan dan dua ditolak kerana lokasi di luar kawasan.

Jelasnya, untuk Parlimen Pulai pula, sebanyak enam permit ceramah dan 21 permit kempen diluluskan, dengan jumlah keseluruhan 11 permit ceramah dan 24 permit kempen diluluskan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN