ALOR SETAR: Polis akan memanggil seorang Ahli Parlimen di negeri ini, hari ini untuk memberi keterangan berhubung dakwaan ancaman keselamatan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, setakat ini pihaknya mengambil keterangan daripada empat individu yang membuat laporan polis berhubung dengan dakwaan tersebut di Sungai Petani, baru-baru ini.
“Semalam, kita menerima laporan polis mengenai satu hantaran yang dimuat naik dalam media sosial. Kita buka empat kes di Sungai Petani mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang mendatangkan khianat awam.
“Kita akan siasat penama yang disebut itu yang bercakap tentang keselamatan orang tertentu ada ancaman. Jadi di sini kita nak maklumkan apa yang saya katakan adalah keselamatan dan perjalanan kempen sangat-sangat harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini hari ini.
Mengulas lanjut kata Fisol, laporan polis itu berkait satu kenyataan yang dikeluarkan dalam satu ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh seorang Ahli Parlimen di Sungai Petani.
“Kenyataan itu dimuat naik sebagai satu artikel melalui aplikasi media sosial Facebook, dilihat sebagai satu fitnah mengelirukan dengan niat mendatangkan khianat awam.
“Janganlah mewujudkan suatu benda yang berunsur politik tetapi kita heret sama orang di luar termasuk pasukan keselamatan. Polis tidak akan memberi kelebihan atau keistimewaan kepada mana-mana pihak,” jelasnya.
Katanya, hasil pemeriksaan awal termasuk daripada pegawai siasatan jenayah tiada ancaman keselamatan dalam kalangan penyokong orang awam dan calon.
“Kes yang diterima berkaitan PRN ini sangat minimum dan menunjukkan penurunan berbanding pilihan raya umum (PRU) lepas. Setakat ini hanya ada 246 laporan sementara ketika PRU lalu sebanyak 458.
“Pegawai penyiasat pula hanya buka 18 kertas siasatan melibatkan kes yang sangat minimum iaitu koyak poster dan tak ada kes pergaduhan atau provokasi,” katanya. –UTUSAN










